Utama Berita Automotif Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 700,000 liter diesel

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 700,000 liter diesel

9
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang berjaya mematahkan percubaan memindahkan kira-kira 700,000 liter minyak diesel secara haram dalam satu operasi di perairan Bagan Ajam, pada Ahad.
 
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, tindakan itu diambil hasil maklumat risikan yang diterima seawal jam 10.45 pagi berhubung pergerakan mencurigakan dua kapal dalam satu dalam keadaan bersauh di lokasi berkenaan.
 
“Pemeriksaan mendapati, kedua-dua kapal berada dalam keadaan bergandingan dan disyaki sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal tanpa kebenaran.
 
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati aktiviti tersebut melibatkan pemindahan minyak diesel Euro 5 dengan anggaran sebanyak 700,000 liter, manakala keseluruhan rampasan minyak dianggarkan mencecah 800,000 liter dengan nilai dianggarkan RM2.33 bilion,” jelasnya. 
 
Pihak berkuasa turut menahan 22 kru terdiri daripada warga Malaysia, Myanmar, Rusia, Filipina dan Indonesia yang berada di atas kedua-dua kapal berkenaan.
 
Kes berkenaan antara tangkapan berprofil tinggi di perairan negara pada tahun ini yang mana nilai rampasan kedua-dua kapal tangki yang telah disita masing-masing bernilai RM2.32 billion dan RM2.89 juta serta muatan diesel Euro 5 yang cuba diseludup dianggarkan bernilai RM5.43 juta.
 
Kes disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melakukan aktiviti pemindahan kapal ke kapal tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
 
“Kesalahan ini boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 ke atas setiap vesel dan siasatan turut dijalankan di bawah Akta Kastam 1967 berikutan kegagalan mengemukakan dokumen berkaitan pemindahan minyak serta pengisytiharan kargo,” ujarnya.
 
Kesemua kru dan kapal yang ditahan kemudiannya dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here