Utama Berita Automotif Empat maut termasuk bayi, treler hempap Honda City

Empat maut termasuk bayi, treler hempap Honda City

17

Empat termasuk seorang bayi perempuan maut selepas kereta dinaiki dihempap treler membawa muatan habuk kayu yang terbalik di KM43, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menghala ke Karak, Bentong pada Ahad.

Mangsa yang maut dikenali sebagai A Halim Hasoon, 55, Rozita Buang, 58, Norbahyah A Halim, 26 dan Nayla Afya Aizat, 1 tahun.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 4.35 petang. 

“Susulan maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong ke lokasi kejadian kira-kira 28km dari balai untuk operasi menyelamat.

“Anggota bersama jentera yang tiba di lokasi jam 5.15 petang bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam Honda City menggunakan peralatan menyelamat khas,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa yang tersepit dalam kereta berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak kesihatan manakala pemandu treler berbangsa india hanya mengalami kecederaan.

Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dibantu Pasukan Bomba Sularela (PBS) Elektriksolar Janda Baik.

“Sebuah jentera berat milik syarikat konsesi lebuh raya digunakan untuk mengangkat treler bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Semua mangsa meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here