Utama Berita Automotif BYD, Nio & syarikat gergasi EV China disenaraihitam sebagai ‘syarikat tentera’

BYD, Nio & syarikat gergasi EV China disenaraihitam sebagai ‘syarikat tentera’

110

Kementerian Pertahanan Amerika Syarikat (Pentagon) telah menyenaraikan beberapa pengeluar kenderaan elektrik (EV), bateri dan syarikat teknologi China di bawah senarai “syarikat tentera China” termasuk BYD, Nio, dan CALB.

Kemas kini senarai Seksyen 1260H itu turut merangkumi syarikat gergasi seperti Alibaba, Baidu, pengeluar bateri EVE Energy, pengeluar sensor lidar Hesai dan RoboSense (yang disokong oleh BYD), WuXi AppTec, TP-Link, serta syarikat pemula robotik, Unitree, menurut notis Pendaftaran Persekutuan yang yang bakal diterbitkan minggu ini.

Langkah berkenaan menyusul selepas Nvidia mengumumkan kerjasama dengan Unitree pada awal Jun manakala EVE Energy pula merupakan pembekal bateri kepada jenama automotif terkemuka seperti Tesla, BMW dan Mercedes-Benz.

Dalam kemas kini tersebut, Pentagon turut mengeluarkan beberapa entiti daripada versi senarai sebelum ini, termasuk CNOOC China Ltd dan CNOOC International Trading yang mana kedua-duanya mempunyai kaitan dengan China National Offshore Oil Corporation.

Bagaimanapun tindakan Pentagon itu tidak akan melaksanakan sekatan secara automatik.

Ia boleh mengehadkan perolehan kontrak kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada masa hadapan dan mungkin menyukarkan urusan perniagaan dengan rakan kongsi AS terutamanya dalam sektor yang berkaitan dengan rantaian bekalan pertahanan, pasaran modal dan kontrak kerajaan.

Syarikat yang tersenarai boleh mengemukakan petisyen kepada Pentagon untuk dikeluarkan daripada senarai tersebut.

KAITAN DENGAN PENYUMBANG KETENTERAAN-AWAM

Pentagon mendakwa bahawa BYD mempunyai kaitan secara langsung dan tidak langsung dengan Suruhanjaya Penyeliaan dan Pentadbiran Aset Milik Negara (SASAC) China serta Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT).

Pihak AS juga mendakwa BYD sebagai “penyumbang gabungan ketenteraan-awam” disebabkan hubungannya dengan MIIT dan kedudukannya yang berada di dalam atau bersekutu dengan zon perusahaan gabungan ketenteraan-awam.

Bagi Nio pula, Pentagon menyatakan pengeluar EV itu mempunyai kaitan langsung dan tidak langsung dengan SASAC dan dikategorikan sebagai penyumbang gabungan ketenteraan-awam kerana mempunyai hubungan dengan MIIT.

BYD memiliki operasi pembuatan di AS. Pada 2013, BYD mengumumkan rancangan untuk membina kilang bas elektrik di Lancaster, California yang mana pengeluaran bermula pada tahun berikutnya. Kemudian, BYD memperluas kemudahan tersebut kepada lebih daripada 500,000 kaki persegi.

Selain itu, Nio juga mempunyai tapak di AS. Dalam laporan ESG (2026), syarikat itu menyatakan San Jose kekal menjadi salah satu lokasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kemudahan globalnya di samping tapak sedia ada di China, Eropah, Singapura dan Abu Dhabi.

Antara syarikat berkaitan automotif dan mobiliti lain yang tersenarai:

  • EVE Energy: Dinamakan oleh Pentagon atas dakwaan mempunyai kaitan dengan SASAC dan menerima sokongan kerajaan melalui program “Juara Tunggal” China.

  • RoboSense: Didakwa sebagai penyumbang gabungan ketenteraan-awam kerana mempunyai kaitan dengan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China.

  • Hesai: Didakwa mempunyai kaitan dengan MIIT, SASAC dan PLA.

  • Unitree: Kemasukan syarikat robotik ini menarik perhatian kerana pada 1 Jun lalu, Nvidia mengumumkan robot humanoid Unitree H2 Plus akan digunakan dalam reka bentuk rujukan Isaac GR00T untuk penyelidikan robotik akademik.

  • CALB: Merupakan salah satu pengeluar bateri EV terkemuka di China yang membekalkan bateri kepada Xpeng (disokong Volkswagen), Leapmotor (disokong Stellantis), GAC, Mazda, Changan dan Deepal. Baru-baru ini, mendedahkan sel bateri pepejal sepenuhnya 60Ah yang disasarkan untuk robot humanoid dan pesawat eVTOL.

Senarai itu turut merangkumi syarikat di luar rantaian bekalan EV seperti Alibaba, Baidu, syarikat bioteknologi WuXi AppTec, pengeluar panel paparan BOE, syarikat tenaga solar JA Solar dan Trina Solar, pengeluar router TP-Link, serta pembuat cip memori CXMT dan YMTC. Sebelum ini, Tencent dan CATL telah pun dimasukkan ke dalam versi senarai terdahulu pada Januari 2025.

WuXi AppTec menolak sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dengan menyifatkannya sebagai tidak tepat dan menyatakan mereka akan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan itu, memandangkan mereka adalah syarikat bebas yang didagangkan secara awam.

Kemas kini terbaharu tersebut memperluas skop Senarai Seksyen 1260H melampaui firma pertahanan dan telekomunikasi tradisional yang mana kini merangkumi sektor EV, bateri, kecerdasan buatan (AI), bioteknologi, robotik, semikonduktor, tenaga solar dan lidar. Ia berlaku ketika AS terus memperketat pengawasan terhadap syarikat teknologi China atas alasan keselamatan negara.

Senarai 1260H ini adalah berasingan daripada sekatan AS yang lain, termasuk Senarai Entiti Jabatan Perdagangan dan senarai sekatan Jabatan Kewangan. Penganalisis melihat kemasukan dalam senarai Pentagon ini meningkatkan risiko undang-undang dan reputasi yang besar bagi syarikat terlibat.

Sebelum senarai rasmi ini dikeluarkan, sempat berlaku satu insiden pelik pada bulan Februari lalu apabila Pentagon memuat naik versi senarai yang hampir sama (menamakan Alibaba, BYD, Baidu, dan TP-Link), namun menariknya semula secara mengejut hanya beberapa minit kemudian tanpa sebarang penjelasan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here