
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah kapal korek yang dikesan membawa muatan pasir berlebihan hasil maklumat risikan di perairan Tanjung Tokong, lewat malam Isnin.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata kapal tersebut ditahan ketika sedang berlabuh pada kedudukan kira-kira 1.0 batu nautika timur laut Tanjung Tokong sekitar jam 11.30 malam.
“Kapal dikendalikan 17 kru warga asing terdiri daripada warga Indonesia dan China berusia antara 32 hingga 52 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati beberapa kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain disyaki memasuki Malaysia tanpa melalui pintu masuk yang diwartakan, sekali gus dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Malah terdapat individu di atas kapal yang tidak tersenarai dalam senarai kru rasmi,” jelasnya.
Tambah beliau, semasa pemeriksaan dijalankan turut berlaku cubaan memberi suapan kepada penjawat awam serta cubaan menghalang pihak berkuasa daripada menjalankan tugas rasmi.
Berikutan itu, 10 daripada 17 kru kapal tersebut telah diiringi ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta SPRM 2009 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.































