
Saleen mungkin terkenal dengan modifikasi jentera muscle Ford Mustang, tetapi kemunculan Saleen S7 pada awal 2000-an menjadikannya antara supercar mid‑engine Amerika yang benar‑benar berjaya mencabar pentas antarabangsa, termasuk FIA GT Championship.
Kini, salah satu unit rare itu mahu dijual kepada pihak yang berminat.
Lebih menarik perhatian, kereta ini pernah dimiliki mendiang Paul Walker dengan jarak perbatuan sekitar 3,025 km sahaja, satu angka yang agak rendah untuk sebuah kereta berusia 23 tahun.
Jarak perbatuan rendah biasanya menjadi tumpuan dan buruan oleh golongan pengumpul.
Namun, kereta yang lama tersadai boleh mengalami masalah degradasi komponen terutama jika dipandu jarak pendek sekali-sekala.
Laman jualan itu juga tidak menyertakan rekod penyelenggaraan yang telah dilaksanakan untuk jentera pantas ini.
Namun melihatkan kepada kondisinya yang terjaga, besar kemungkinan ia berada di tangan yang tepat, di mana cat perak masih lagi kelihatan bersih dan bahagian dalaman yang masih elok walaupun olskool.
Saleen S7 dikuasakan enjin bentangan V8 7.0 liter yang mampu menghasilkan 550 hp memacu roda belakang.
Dengan padanan transmisi manual 6-kelajuan, ia mampu mencapai kelajuan maksimum 354 km/j.
Berdasarkan semakan di laman web RP Exotics, tanda harga Saleen S7 milik Paul Walker ini sudah mencecah $984,995 (RM3.9 juta).


































