
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh terpaksa mengambil keputusan berat dengan membuka bidaan dua aset kesayangannya bagi membayar wang ganti rugi dan kos mahkamah berjumlah RM300,000.
Meskipun menghargai keikhlasan ramai pihak yang mencadangkan kutipan dana, beliau menegaskan pendirian untuk menghormati keputusan mahkamah dan mematuhi perintah tersebut sepenuhnya atas bahu sendiri.
“Namun, izinkan saya berusaha sendiri dahulu. Saya tahu setiap sahabat juga mempunyai keluarga, tanggungan dan kesusahan masing-masing.
“Sebab itu, selagi masih ada milik saya yang boleh dilepaskan, izinkan saya mengusahakannya dahulu,” luahnya menerusi akaun Facebook.

Akui beliau, jumlah RM300,000 itu terlalu besar dan simpanan sedia ada masih belum mencukupi. Memandangkan beliau tidak memiliki hartanah seperti tanah atau rumah untuk dijual, jalan terakhir adalah melepaskan aset kesayangannya.
Akmal Saleh menyatakan ingin membuka bidaan sebuah motosikal Honda X-ADV dan ternakan ikan talapia miliknya yang telahpun habis dibayar.
Pada Isnin, Akmal Saleh diperintahkan membayar ganti rugi keseluruhan RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung kes saman fitnah yang difailkan pada 2024. Jumlah itu merangkumi ganti rugi am sebanyak RM250,000 dan kos sebanyak RM50,000.




























