
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan kutipan keseluruhan sebanyak RM91.21 juta bagi bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri “H”.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata bidaan sepenuhnya melalui sistem JPJeBid bermula 16 September itu mencatatkan RM89.3 juta hasil bidaan serta RM1.9 juta fi perkhidmatan.
“Nombor H 1 mencuri tumpuan apabila mencatatkan bidaan tertinggi sebanyak RM10,777,777, diikuti H9 (RM4,969,999) dan H3 (RM4,209,777).
“Secara keseluruhan, seramai 34,664 pembida telah mengambil bahagian dengan 8,223 nombor pendaftaran berjaya dibida, sekali gus memperlihatkan sambutan amat menggalakkan terhadap NPI Siri H,” jelasnya
Sementara itu, nombor yang mencatatkan penyertaan pembida paling tinggi ialah H 1001 dan H 100, masing-masing dengan 37 pembida, diikuti H 1805 (36 pembida) serta H 1777 dan H 4818 (masing-masing 32 pembida).
“Lebih signifikan, setiap hasil yang dijana melalui inisiatif ini akan kembali kepada rakyat menerusi pelbagai program dan inisiatif MOT serta JPJ, termasuk program keselamatan jalan raya dan inisiatif yang memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“Justeru, kejayaan NPI Siri “H” bukan sekadar tentang angka atau nombor pendaftaran, tetapi membawa nilai yang lebih besar kepada rakyat dan negara,” tambah beliau.






























