
Acara pertandingan tahunan Honda Customs menyaksikan sebuah Honda CB750 Hornet kustom dari Portugal dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
Hasil daripada lebih 42,000 undian yang diterima, CB750 Hornet ‘Mugen’ daripada pengedar Portugal, Mototrofa meraih 10,092 undian bersamaan 24% daripada jumlah keseluruhan dan 36% daripada kategori On Road.
Untuk edisi tahun 2026, Honda mempertembungkan dua model iaitu CB750 Hornet dan XL750 Transalp menggunakan tema On Road vs Off Road.
Dengan kemenangan ini, Mototrofa kini menjadi pemenang berganda kedua dalam sejarah pertandingan, menyertai pengedar Itali iaitu Motocicli Audaci yang menang pada tahun 2022 dan 2025.
Kali pertama Mototrofa menang adalah pada tahun 2021 menerusi binaan ‘Fenix’ berasaskan platform CB650R.
CB750 Hornet kustom ini membawakan gaya streetfighter yang serba agresif, dilayangkan dengan warna hijau hutan yang gelap sebelum diakhiri dengan kemasan emas dan gentian karbon.
Selain itu, ia turut dipadankan dengan winglet karbon yang diinspirasikan daripada MotoGP, lengan ayun kustom, underpan kustom, serta seksyen eksor yang agresif.
Tidak ketinggalan, bar hendal jenis clip-on, pelana kustom, dan suspensi hadapan yang rendah memberikan Mugen imej yang gagah dan berani di atas jalan.
Kategori Off Road pula dimenangni oleh XL750 Transalp ‘Saharja’ dari DRS Custom Cycles, Itali.
‘Saharja’ meraih 4,800 undian dengan penguasaan 36% dalam kategori off-road.
Ia menampilkan menara navigasi buatan tangan lengkap dengan buku jalan digital dan paparan meter TFT, sebelum dilayangkan dengan liveri tiga HRC Tricolour.
Antara naik taraf lain termasuklah lampu LED output tinggi, pelindung tangan, bar perlindungan sisi keluli, pelindung perut aluminium, tangki sisi aluminium buatan tangan, serta ekzos tinggi gaya rali.

































