
Jentera sporti Honda CB750 Hornet kini didatangkan dengan teknologi penukaran gear tanpa klac, atau E-Clutch untuk model tahun 2026 di pasaran Amerika Syarikat.
Teknologi tersebut mula muncul pada model CB650R (2024) dan CBR650R (2024) sebelum diperluaskan kepada model Rebel 300 (2025).
Sistem ini membolehkan penukaran gear yang lebih pantas dan lancar berbanding quickshifter, dan dalam masa yang sama mengelakkan enjin daripada mati secara tiba-tiba untuk menjadikan tunggangan lebih meyakinkan di dalam trafik urban.
Dari segi spesifikasi, Honda CB750 Hornet kekal dengan tetapan enjin 755 cc sedia ada, menghasilkan kuasa 90 hp pada 9,500 rpm dan daya kilas 75 Nm pada 7,250 rpm.
Terdapat tiga mod tunggangan iaiatu Sport, Standard dan Rain, serta tambahan dua mod USER yang boleh disesuaikan mengikut keperluan.
Aspek tunggangan dibantu dengan tetapan suspensi fork SFF-BP jenis terbalik Showa 41 mm, diikuti dengan sistem Pro-Link yang turut menawarkan larasan pra-beban.
Sistem brek pula menggunakan tetapan angkup empat omboh hidraulik Nissin dan cakera berkembar 296 mm di depan, manakala roda belakang pula bergantung kepada angkup omboh tunggal dan cakera 240 mm.
Selain sistem E-Clutch, CB750 Hornet turut mendapat komponen under-cowl yang menjadikan penampilan jentera ini lebih agresif.































