
Ini merupakan satu berita baik buat para peminat Honda yang gemar melakukan aktiviti luar dan berkhemah di luar grid.
Pasukan R&D Honda yang sama bertanggungjawab menghasilkan MotoCompacto memperkenalkan treler Base Station Prototype yang boleh ditunda oleh SUV ke mana jua yang anda inginkan.
Sejak dari mula, Base Station direka supaya mampu meminimumkan kesan seretan aerodinamik, dan binaan kerangka aluminium berserta panel luaran gentian kaca untuk mencapai sasaran berat sekitar 680 kg.
Untuk memaksimumkan ruang, ia menawarkan rekaan yang berkotak, sementara bumbung pula boleh ditinggikan membolehkan individu berketinggian sehingga 2.13 meter boleh berdiri tegak.
Terdapat jalur LED di sekitar tingkap kaca untuk memudahkan urusan bermalam di kawasan perkhemahan.
Honda juga bakal menawarkan pelbagai modul aksesori termasuklah dapur induksi, pancur air, unit pendingin hawa dan bumbung awning.
Treler itu turut dilengkapi dengan sistem bateri lithium-ion dan panel solar yang boleh digunakan untuk mengecas bateri tersebut di luar grid kuasa.
Honda tidak mendedahkan kapasiti bateri tersebut, namun ia boleh digunakan untuk aktiviti luar sepanjang hujung minggu.
Base Station turut dilengkapi dengan outlet kuasa 120V, port pengecasan USB, sistem pemanas elektrik terbina, tayar simpanan saiz penuh dan sistem brek hidraulik yang berfungsi sepenuhnya menggunakan sambungan pendawaian terbina.
Cuma, ada beberapa ciri yang sengaja tidak dipasang supaya kos pemilikan lebih murah, seperti storan air serta insulasi yang diperlukan pada dinding dan bumbung untuk aktiviti musim sejuk.
































