
Sebanyak 2,712 saman dikeluarkan di Selangor sepanjang 2025 ke atas pemandu lori yang ingkar Perintah Laluan Terhad membabitkan kenderaan berat di lebuh raya pada waktu puncak.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata alasan ‘mahu kejar trip’ sering diberikan oleh pemandu berkenaan setiap kali ditahan pihak berkuasa.
“Larangan pergerakan dilaksanakan mulai jam 6.30 pagi sehingga 9.30 pagi dan pada 4.30 petang hingga 7.30 malam bertujuan bagi mengurangkan kesesakan semasa waktu puncak, masa orang pergi dan pulang kerja.

“Walaupun kita ada amaran ataupun pemakluman awal tidak boleh masuk di laluan tertentu, tetapi mereka masih berdegil,” katanya.
Terdahulu seramai 57 pemandu lori yang degil disaman kerana menerusi operasi khas di sekitar Lebuhraya ELITE.
Mengulas lanjut berkenaan larangan ke atas kenderaan berat sepanjang tahun lalu Azrin berkata, Lebuhraya ELITE mencatat saman tertinggi sebanyak 1,346, Lebuhraya Persekutuan (579 saman), Jalan Templer (366 saman), dan Sungai Buaya (420 saman).
Katanya, pemandu yang melanggar arahan larangan pergerakan itu boleh dikenakan tindakan saman bermula RM300 dan boleh mencecah sehingga RM2,000 jika terus berdegil.
Penguatkuasaan dilaksanakan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang dilaksanakan oleh pegawai JPJ, polis mahupun warden trafik.
“Antara laluan utama yang terlibat dalam pelaksanaan Perintah Laluan Terhad ialah Lebuhraya ELITE, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Jalan Kepong ke Jalan Kuching dan Jalan Sungai Buaya,” katanya.
Pada masa sama beliau turut mengingatkan pemandu amnya termasuk majikan dan pengusaha kenderaan berat khususnya supaya peka dengan perintah larang terbabit serta menasihatkan mereka supaya merancang perjalanan degan berhemah.
Katanya, larangan itu dilaksanakan bagi mengurangkan jumlah trafik di beberapa laluan utama demi keselesaan dan keselamatan semua pengguna jalan raya.




























