
Stellantis Malaysia secara rasmi memperkenalkan Leapmotor C10 PLUS baharu yang dipertingkatkan, serta edisi terhad C10 PLUS Night Edition.
SUV segmen-D inovatif dan pemenang pelbagai anugerah ini dilengkapi dengan rangkaian kuasa (powertrain) yang dinaik taraf, menawarkan kecekapan pengecasan lebih unggul, jarak pemanduan lebih jauh, serta prestasi dipertingkatkan, pada harga bermula RM148,000.
Leapmotor C10 PLUS Baharu
Bersandarkan kejayaan model C10 sebelum ini, varian baharu ini melambangkan lonjakan signifikan dalam komitmen Leapmotor dalam menyediakan mobiliti elektrik berteknologi tinggi dan mudah diakses.

Jentera ini sudah tersedia di bilik pameran seluruh negara sejak awal Februari lalu, dengan Leapmotor C10 PLUS dipertingkatkan ini menampilkan penambahbaikan direka khusus untuk meningkatkan aspek praktikaliti dan keselesaan penumpang mengatasi model tahun lalu.
Leapmotor C10 PLUS dilengkapi platform 800V dinaik taraf serta pek bateri 81.9kWh lebih besar, memberikan jarak gerak WLTP dipertingkatkan sehingga 510 KM.
Prestasi kenderaan juga dipertingkatkan kepada 299hp dan tork 360Nm (berbanding 215hp dan 320Nm sebelum ini), membolehkan C10 PLUS memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 6.2 saat.

Selain itu, C10 PLUS lebih cekap tenaga dengan kadar penggunaan tenaga hanya 15.1 Wh/KM.
Pengecasan pantas DC maksimum dinaik taraf kepada 180kW, sekali gus mengurangkan masa pengecasan dari 30 peratus ke 80 peratus kepada hanya 22 minit.
Untuk kemasan dalaman, C10 PLUS mengekalkan reka bentuk kabin yang canggih, menggunakan tekstil ‘silikon mesra bayi’ yang diperakui OEKO-TEX® Standard 100 serta bahan-bahan premium.
Model dengan warna luaran Pearly White, Canopy Grey, dan Tundra Grey hadir dengan kemasan dalaman berwarna Hitam, manakala warna Glazed Green dipadankan secara eksklusif dengan ruang dalaman berwarna Camel Brown.
Eksklusif: C10 PLUS Night Edition
Terhad kepada 50 unit sahaja, C10 PLUS Night Edition menawarkan gaya estetika eksklusif tersendiri.
Edisi ini menampilkan kemasan luaran dua tona dengan bumbung hitam, reka bentuk kit badan aerodinamik baharu, serta rim “Trident” 20-inci berwarna hitam matte, memberikan penampilan yang lebih berani dan atletik di jalan raya.
Harga
Leapmotor C10 PLUS ditawarkan pada harga RM148,000 (MSRP), manakala edisi eksklusif C10 PLUS Night Edition boleh dimiliki dengan tambahan RM8,000.
Promosi dan Rebat
Pelanggan boleh menikmati rebat sebanyak RM9,000 untuk kedua-dua model. Selain itu, pelanggan terawal (early bird) bakal menerima subsidi insurans tambahan sebanyak RM4,000, menjadikan jumlah penjimatan keseluruhan sehingga RM13,000. Tawaran promosi ini sah sehingga 31 Mac 2026.

Sesi tontonan awam untuk C10 PLUS dan C10 PLUS Night Edition diadakan di LG2, Orange Concourse, Sunway Pyramid, dari 27 Februari hingga 1 Mac 2026, bermula jam 10:00 pagi hingga 10:00 malam.
Waranti Kenderaan dan Bateri
Ketenangan fikiran pemilik kenderaan ini dijamin dengan waranti komprehensif selama 6 tahun atau 150,000km*, serta waranti bateri selama 8 tahun atau 160,000km, mengikut mana-mana yang terdahulu.
Pelanggan berminat boleh mengunjungi pengedar sah Leapmotor berdekatan untuk sesi pandu uji, atau layari http://www.leapmotor-international.com.my untuk maklumat lanjut.
*Nota Editor: Perlindungan merangkumi waranti pengilang selama 4 tahun/100,000km serta tambahan waranti lanjutan penuh selama 2 tahun/50,000km.


