
Aveta Motor Malaysia (Aveta) memperkenalkan versi terbaharu skuter advencer suku liter – Aveta Vanguard 250 2026 – yang menerima penambahbaikan menyeluruh dan bakal memasuki pasaran tempatan mulai Mac ini.

Siri Vanguard 250 bukan hanya skuter 250cc biasa, tetapi mempunyai identiti tersendiri dalam kategori Adventure Touring Crossover (ATC), menggabungkan keselesaan perjalanan jauh, reka bentuk berinspirasikan jentera kembara dengan praktikaliti kegunaan harian dalam bandar.
Evolusi Berdasarkan Respons Penunggang
Aveta memaklumkan, kemas kini kali ini bukan sekadar penambahbaikan kosmetik, tapi setiap perubahan dibangunkan berdasarkan hasil penelitian maklum balas komuniti penunggang, sesi pertemuan pemilik, konvoi rasmi dan laporan selepas jualan daripada pengedar seluruh negara.

Pendekatan itu memperlihatkan strategi Aveta yang ingin memastikan Vanguard kekal relevan dengan keperluan sebenar pengguna, sama ada bagi kegunaan ulang-alik kerja atau kembara hujung minggu.
10 Penambahbaikan Utama Aveta Vanguard 250
Model versi dipertingkat didatangkan dengan 10 naik taraf yang menumpukan kepada keselesaan, keselamatan dan praktikaliti:
- Skrin TFT 7-inci dengan Fungsi Sentuhan: Paparan digital lebih moden dan interaktif untuk akses maklumat tunggangan yang lebih mudah

- Visor Angin Boleh Laras Elektrik: Visor angin boleh laras elektronik bagi menyesuaikan tahap perlindungan ketika perjalanan jauh
- Rekabentuk Suis Kawalan Baharu: Operasi lebih ergonomik dan responsif ketika menunggang

- Kowl Ekzos Lebih Panjang: Melindungi kesan haba tambahan, terutama untuk keselesaan pembonceng
- Rekabentuk Kowl Enjin Baharu: Memudahkan kerja penyelenggaraan dan meningkatkan kemudahan pemilikan jangka panjang
- Peg Kaki Pembonceng Dipertingkatkan: Memberikan posisi lebih stabil dan selesa untuk perjalanan jarak jauh

- Ruang Simpanan Bawah Tempat Duduk Lebih Praktikal: Kini mampu memuatkan helmet jenis full-face, menjadikannya lebih versatil untuk kegunaan harian.
- Pelana Baharu: Rekaan ergonomik untuk keselesaan lebih baik serta keyakinan tambahan ketika berhenti.

- Suspensi Belakang Boleh Laras: Memberi fleksibiliti mengikut berat penunggang dan beban, sekali gus meningkatkan kestabilan

- ABS, TCS Boleh Nyah Aktif: Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Sistem Kawalan Traksi (TCS) boleh dimatikan untuk memberikan lebih kawalan dalam situasi tertentu, termasuk ketika tunggangan santai atau di laluan kurang mencengkam
Warna Baharu dan Harga
Aveta Vanguard 250 2026 versi terkini itu ditawarkan dalam dua warna baharu:
- Nano Green (hijau)
- Desert Bronze (gangsa)
Harga jualan asas ditetapkan pada RM16,688, tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Model naik taraf ini akan mula tersedia di rangkaian pengedar sah Aveta seluruh negara bermula awal Mac 2026.































