
Rezeki berganda buat pemilik setia Chery apabila servis rutin untuk kenderaan miliknya membawa tuah buat Joan Gan Cherl Wean.
Beliau diumumkan sebagai pemenang hadiah utama – sebuah Chery Tiggo Cross – menerusi peraduan Chery Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) Test Drive Lucky Draw.
Nama Gan dipilih daripada lebih 1,300 penyertaan dalam sesi cabutan disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial rasmi Chery Malaysia.
Hadiah itu disampaikan Naib Presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang, dalam satu majlis penyerahan kenderaan berkenaan.
Rezeki Tidak Dijangka
Gan berasal dari Klang berkata, beliau sedang menghadiri mesyuarat apabila menerima panggilan daripada wakil pusat pameran Chery Klang – lokasi beliau memandu uji Chery Tiggo 7 PHEV sebelum ini.
Pada awalnya beliau menyangka panggilan itu sekadar gurauan.
“Untuk meyakinkan saya, mereka menghantar rakaman video sesi undian langsung yang saya terlepas,” katanya.
Ibu kepada dua anak itu menyifatkan kemenangan tersebut sebagai permulaan Tahun Baru yang sangat bermakna, apatah lagi suaminya sedang mempertimbangkan untuk membeli SUV baharu.
Kempen Pandu Uji PHEV
Peraduan itu berlangsung dari 9 Disember 2025 hingga 6 Januari 2026 dengan objektif menggalakkan orang ramai memandu uji model PHEV Chery serta memuat naik gambar bersama kenderaan tersebut.
Hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM200,000 ditawarkan, termasuk hadiah utama sebuah Tiggo Cross HEV.
Menurut Lee Wen Hsiang, kempen terbabit bertujuan memberi peluang kepada orang ramai merasai sendiri pengalaman pemanduan teknologi hibrid Chery.
“Kami berhasrat untuk memberi peluang kepada pelanggan merasai sendiri pengalaman memandu PHEV Chery dan memahami teknologi Chery Super Hibrid sebelum membuat keputusan,” katanya.
Tambah ‘Ahli Baharu’ Dalam Keluarga
Gan sebelum ini sudah memiliki Chery Tiggo 7 Pro selama lebih setahun dan menyertai peraduan itu selepas digalakkan kakitangan pusat pameran ketika menghantar kenderaan untuk servis.
Majlis penyerahan hadiah menyaksikan beliau menerima Tiggo Cross HEV ditemani ibunya, dan keluarga mereka kini teruja menyambut kehadiran ‘ahli Chery’ baharu.
Selain hadiah utama, kempen ini turut menawarkan pelbagai hadiah lain termasuk peralatan elektrik dan gajet elektronik.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada kempen promosi hujung tahun Chery bagi menghargai komuniti pelanggan yang semakin berkembang di Malaysia.






























