
Chery Malaysia rasmi memperkenalkan TIGGO CROSS Sport Edition ke pasaran tempatan pada harga RM91,800 seunit.
Sempena pelancaran berkenaan Chery Malaysia memperkenalkan harga promosi iaitu RM83,800 buat pembeli terawal.
Ditawarkan eksklusif dalam varian turbo, TIGGO CROSS Sport Edition menerima penambahan aksesori lip depan dan belakang dengan kemasan hitam yang lebih sporty.
Ia kemudian dilengkapkan dengan ciri peralatan dalam kabin yang memudahkan pengoperasian pemilik menerusi dua kawalan pendingin hawa, pelarasan kerusi pemandu enam tahap bersama sokongan lumbar, pengecas tanpa wayar serta skrin infotainmen 20.5 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Varian petrol TIGGO CROSS menggunakan enjin 1.5 liter hibrid turbo bersama kotak gear DCT 6-kelajuan yang menghasilkan kuasa 147PS dan tork 210Nm.
Walaupun menawarkan prestasi yang lincah, di atas kertas SUV kompak itu menawarkan kecekapan penggunaan bahan api 6.3 liter bagi setiap 100km.
Ditawarkan dalam tiga warna badan iaitu Carbon Black, Phantom Grey dan Khaki White, Chery Malaysia menawarkan perlindungan waranti kilang dan enjin selama 7-tahun atau perbatuan sehingga 150,000km.
Orang ramai boleh melihat dengan lebih dekat TIGGO CROSS Sport Edition di IOI City Mall, Putrajaya bermula hari ini hingga 11 Oktober.



































