
Honda Access Co., Ltd. melancarkan barisan aksesori untuk model SUV terbaharu Honda CR-V.
Rangkaian aksesori ini dijadualkan mula dijual di semua cawangan Honda Cars di seluruh Jepun bermula Jumaat, 27 Februari 2026.
Berbeza dengan pasaran lain, pelanggan di Jepun baru sahaja ditawarkan CR-V generasi keenam selepas diperkenalkan pada 2022 dan dilancarkan di Malaysia pada 2023.
Untuk pasaran tempatan, Honda Malaysia menawarkan rangkaian aksesori untuk CR-V dari Modulo yang merangkumi bahagian luaran dan dalaman.
Konsep Reka Bentuk Tough Premium dan Urban Premium
Aksesori untuk CR-V baharu ini dibangunkan dengan tema reka bentuk yang memfokuskan kepada elemen gah dan berwibawa.
Honda menawarkan dua gaya penggayaan utama bagi memenuhi citarasa pemilik yang berbeza.
Tough Premium
Gaya pertama ialah Tough Premium yang disyorkan untuk varian e:HEV RS serta e:HEV RS Black Edition.
Konsep ini menonjolkan imej lasak dan penampilan yang lebih dominan melalui penggunaan komponen luaran yang tegap.
Di antara komponen utama dalam pakej ini termasuk skirt depan bawah dengan bentuk trapezoid yang diinspirasikan daripada puncak gunung dan skirt sisi.
Kesan bayang daripada warna Luna Silver Metallic memberikan rupa yang lebih solid dan berwibawa pada dua komponen tersebut.
Penampilan ini disempurnakan lagi dengan spoiler bumbung yang bukan sahaja sebagai hiasan tetapi melancarkan aliran udara. Turut disertakan emblem hitam yang eksklusif.
Urban Premium
Gaya kedua pula ialah Urban Premium yang lebih disyorkan untuk varian e:HEV RS.
Walaupun menggunakan komponen asas yang sama dengan pakej Tough Premium, ia tampil dengan tema warna hitam yang lebih pekat bagi menyerlahkan sisi sporti.
Skirt depan dipadankan mengikut warna badan manakala skirt sisi berwarna hitam sepenuhnya bagi memberikan kesan dinamik yang lebih sofistikated.
Ruang Dalaman dan Sistem Pencahayaan
Bagi meningkatkan nilai eksklusif pada bahagian dalaman, Honda menyediakan pelbagai pilihan sistem pencahayaan LED.
Salah satu ciri menarik ialah pattern projector yang akan memancarkan logo CR-V ke permukaan jalan setiap kali pintu dibuka.
Selain itu, terdapat pemijak sisi yang diperbuat daripada keluli tahan karat dengan logo CR-V yang menyala mengikut bukaan pintu.
Di bahagian belakang, aksesori pelindung panel belakang bercahaya turut ditawarkan.
Ia bukan sahaja berfungsi sebagai pelindung ambang but daripada calar semasa urusan memuatkan barang, malah dilengkapi lampu LED putih yang menyala secara automatik apabila pintu but dibuka.
Pemilik juga boleh menambah pelapik kargo jenis kalis air bagi memastikan bahagian belakang sentiasa bersih dan selamat daripada tumpahan cecair semasa membawa barangan basah.
Ciri Keselesaan dan Teknologi Kawalan Jauh
Melengkapi senarai aksesori ialah sistem penghidup enjin kawalan jauh yang telah mula dijual sejak 6 Februari 2026.
Peranti ini membolehkan pengguna menghidupkan enjin dari jarak jauh dan mengaktifkan sistem penyaman udara secara automatik mengikut suhu persekitaran.
Ciri ini amat berguna untuk memastikan suhu kabin berada pada tahap optimum sebelum penumpang masuk ke dalam kenderaan.
Alat kawalan jauh ini kini hadir dengan saiz yang lebih kompak, reka bentuk butang yang lebih jelas serta fungsi maklum balas answer back untuk mengesahkan status operasi kenderaan.
Aksesori Utama Honda Access untuk CR-V Jepun
Tough Premium
- Front Lower Skirt (Luna Silver Metallic dan Crystal Black Pearl): 62,700 yen (RM1,564)
- Side Lower Garnish (Luna Silver Metallic / depan dan belakang dua sisi): 53,900 yen (RM1,345)
- Tailgate Spoiler (Crystal Black Pearl): 58,300 yen (RM1,455)
- Black Emblem H Mark (belakang): 7,150 yen (RM178)
- Emblem Nama Kenderaan Hitam: 4,950 yen (RM124)
- Emblem e:HEV Hitam: 5,500 yen (RM137)
Urban Premium
- Front Lower Skirt (jenis berwarna): 59,400 hingga 62,700 yen (RM1,482 hingga RM1,564)
- Side Lower Garnish (Crystal Black Pearl / depan dan belakang dua sisi): 53,900 yen (RM1,345)
- Tailgate Spoiler (Crystal Black Pearl): 58,300 yen (RM1,455)
- Black Emblem H Mark (belakang): 7,150 yen (RM178)
- Emblem Nama Kenderaan Hitam: 4,950 yen (RM124)
- Emblem e:HEV Hitam: 5,500 yen (RM137)
Aksesori Luaran Lain
- Fender Garnish (Berlina Black dan Chrome Plated / set kiri dan kanan): 22,000 yen (RM549)
- Penutup Hab Rim Aluminium (H Mark hitam / set 4 unit): 17,600 yen (RM439)
- Door Handle Protection Cover (Chrome Plated / set 4 unit): 11,000 yen (RM274)
- Mudguard (Hitam / set 4 unit): 20,900 yen (RM521)
- Door Visor (kemasan keluli tahan karat): 41,250 yen (RM1,029)
Aksesori Dalaman dan Keselesaan
- Pattern Projector (LED logo CR-V / set pintu depan): 33,000 yen (RM823)
- Side Step Garnish (Lampu LED putih / keluli tahan karat / set 4 unit): 37,400 yen (RM933)
- Rear Panel Lining Cover Illumination (LED putih / keluli tahan karat / set 2 keping): 34,100 yen (RM851)
- Luggage Tray (Hitam / jenis tepi tinggi): 22,000 yen (RM549)
- Floor Carpet Mat Premium (Bahan lestari / anti bakteria / set depan dan belakang): 59,400 yen (RM1,482)
- All Season Mat (Jenis getah tepi tinggi / set depan dan belakang): 26,400 yen (RM659)
- Remote Engine Starter (Fungsi maklum balas / saiz 67 mm x 26 mm x 15 mm): 38,500 yen (RM961)











































