
Bapa beri kebenaran menggunakan motosikal untuk solat tarawih ke masjid namun lain pula yang berlaku apabila sekumpulan remaja bertindak ‘nakal’ berkumpul dan membuat bising di kawasan kejiranan sehingga mengganggu penduduk di Jalan Tebing Tinggi, Duyong, Melaka.
Seorang penduduk, Muhammad Noor Izami Ishak, 37 berkata kawasan luar rumahnya menjadi tempat kumpulan itu melepak dengan anggaran 30 motosikal dari jam 8.15 malam sehingga 11.30 malam.
Dia menjelaskan keluarganya terganggu dengan aktiviti ‘mat motor’ itu yang tidak mengendahkan ketidakselesaan penduduk walaupun beberapa teguran telah dibuat sebelum ini.
“Kalau hari biasa waktu petang ada juga beberapa motosikal datang, mungkin tiga atau empat orang sahaja akan berlumba di kawasan ladang kelapa sawit itu, tapi tak lama sekitar setengah jam saja sebelum beredar.
“Bagaimanapun, apabila masuk Ramadan, keadaannya lebih ekstrem. Waktu tarawih memang ramai. Mereka berpakaian baju Melayu dan ada yang berkain pelikat, tetapi bukan ke masjid, sebaliknya berkumpul di depan rumah saya,” katanya.
Izami berkata, rumahnya yang terletak di lot hujung paling terkesan kerana berada betul-betul di lokasi mereka berhimpun dan membuat bising dengan ‘rem’ motosikal.
Katanya, walaupun tidak menghalang remaja berkenaan untuk berkumpul, beliau berharap mereka tidak membuat bising pada waktu malam yang merupakan waktu rehat penduduk.
Ahli perniagaan itu berkata, satu laporan polis pernah dibuat tahun lalu berhubung kacau ganggu berkenaan dan pernah berhasrat berjumpa wakil rakyat untuk mencadangkan agar bonggol dipasang bagi mengelakkan aktiviti lumba haram.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata setakat ini dimaklumkan tiada sebarang laporan polis dibuat berhubung kejadian terbaharu itu dan pihaknya akan menjalankan rondaan berkala susulan penularan kejadian tersebut.






























