Utama Berita Automotif Vellfire bekas bintang bola sepak, Brabus AMG milik pakar motivasi kena sita

Vellfire bekas bintang bola sepak, Brabus AMG milik pakar motivasi kena sita

87

Kenderaan mewah Toyota Vellfire dan Mercedes Benz Brabus AMG masing-masing milik bekas pemain bola sepak kebangsaan serta pakar motivasi keusahawanan bergelar Datuk disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Op Luxury.

Bekas pemain bola sepak yang pernah merangkul beberapa kali kejuaraan Liga Super itu ditahan ketika memandu Toyota Vellfire kira-kira jam 4 pagi di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Operasi), JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, kenderaan mewah bekas pemain itu disita selepas melakukan tiga kesalahan iaitu tiada perlindungan insurans, LKM tamat tempoh dan lesen memandu tamat tempoh.

Menurutnya, semakan mendapati LKM itu tamat tempoh sejak 7 Disember tahun lalu.

“LKM itu sudah masuk lima bulan dan masih belum diperbaharui dan sebab itu kenderaan itu disita,” katanya dalam sidang akhbar pada Ahad.

Tambahnya, kenderaan pakar motivasi itu pula ditahan ditahan di sekitar Lembah Klang selepas dikesan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh sebulan dan tiada perlindungan insurans.

“Selain itu, JPJ juga mengesan kenderaan mewah itu mempamerkan nombor kenderaan lain. Dia (pakar motivasi) itu sebenarnya sudah membuat pertukaran nombor pendaftaran kenderaan ini namun masih menggunakan nombor yang lama dan ini adalah satu kesalahan,” ujarnya.

Menerusi Op Luxury itu, JPJ turut mengesan kesalahan LKM tamat tempoh paling lama ialah 1 Januari 2025 manakala LKM paling mahal tidak dibayar ialah RM16,000 bagi kenderaan jenis Porshe.

“Sehingga kini (Sabtu), JPJ merekodkan sebanyak 1,814 buah sitaan kenderaan mewah dengan 899 buah sitaan direkodkan pada tahun 2025 manakala 915 buah disita tahun ini.

“Antara jenis kenderaan mewah yang dikesan termasuk Porsche dan Lamborghini, selain beberapa jenis premium lain yang dikenal pasti gagal memperbaharui LKM,” katanya.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here