Utama Berita Automotif Tular video wheelie, polis tahan tiga mat rempit

Tular video wheelie, polis tahan tiga mat rempit

24

Tiga penunggang ditahan selepas disyaki terlibat menunggang motosikal secara berbahaya termasuk berlumba dan melakukan aksi ‘wheelie’ di KM4 Jalan Lipis-Felda Kechau berhampiran Hotel Star Well, Kuala Lipis, Pahang. 

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata tindakan itu diambil susulan sebuah video berdurasi 22 saat tular di laman Facebook Komuniti Anak-Anak Lipis yang dimuat naik pada 5 Mei lalu.

Menurutnya, video berkenaan memaparkan beberapa penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya dengan berlumba sesama sendiri serta mengangkat tayar hadapan ketika menunggang di lokasi berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis telah menjalankan Op Samseng Jalanan pada Ahad di sekitar bandar Kuala Lipis.

“Hasil operasi itu, polis berjaya menahan tiga penunggang terbabit berusia 19 dan 20 tahun bersama motosikal masing-masing untuk siasatan lanjut,” katanya melalui kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang dengan cara melulu dan berbahaya.

Jika sabit kesalahan, individu tersebut berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 selain hilang kelayakan lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun. 

Tagas beliau, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti pemanduan atau penunggangan secara berbahaya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang jalan raya supaya tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis,” katanya. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here