Utama Berita Automotif Berita Global Lamborghini Fenomeno Roadster, 0-100 km/j 2.4 saat! Roadster dengan enjin V12 Lamborghini...

Lamborghini Fenomeno Roadster, 0-100 km/j 2.4 saat! Roadster dengan enjin V12 Lamborghini paling berkuasa

7

Automobili Lamborghini memperkenalkan model Few-Off terbaharu, iaitu Fenomeno Roadster yang merupakan roadster paling berkuasa dalam sejarah jenama ini.

Diperkenalkan semasa Lamborghini Arena edisi kedua, Fenomeno Roadster merupakan evolusi Fenomeno Coupé yang dilancarkan pada 2025, kini hadir tanpa bumbung dan dengan pakej aerodinamik baharu.

Nama Fenomeno mengikuti tradisi Lamborghini yang mengambil inspirasi daripada lembu-lembu lagenda dan berani.

Dalam bahasa Itali dan Sepanyol, perkataan ini bermaksud luar biasa, satu nama yang sesuai bagi model dengan tahap prestasi sebegini.

Enjin V12 Hibrid — Pertama untuk Roadster Lamborghini

Ini merupakan kali pertama sebuah roadster Lamborghini dilengkapi sistem kuasa hibrid HPEV.

Di jantung Fenomeno Roadster terletak enjin V12 6.5-liter aspirasi semula jadi yang merupakan V12 paling berkuasa pernah dihasilkan oleh Lamborghini.

Enjin ini menghasilkan 835 PS pada 9,250 rpm dan kilasan 725 Nm pada 6,750 rpm, dengan output spesifik melebihi 128 PS per liter.

Enjin ini berfungsi bersama tiga motor elektrik, iaitu dua di bahagian hadapan dan satu lagi di atas kotak gear dua-klac lapan kelajuan, bagi menghasilkan kuasa gabungan 1,080 PS.

Bateri litium-ion 7 kWj turut membolehkan mod pacuan elektrik sepenuhnya.

Prestasi pecutan mencatatkan 0-100 km/j dalam masa 2.4 saat, 0-200 km/j dalam 6.8 saat, dengan laju maksimum melebihi 340 km/j.

Reka Bentuk Baharu untuk Kereta Bumbung Terbuka

Tanpa bumbung, pasukan reka bentuk Lamborghini perlu membangunkan semula keseluruhan bahagian atas kereta.

Pakej aerodinamik baharu memastikan Fenomeno Roadster mencapai tahap daya mendap, kestabilan dan imbangan yang setara dengan versi coupé.

Satu perisai angin tambahan dipasang pada cermin hadapan untuk mengarahkan aliran udara melepasi kokpit dan terus ke dalam ruang enjin.

Struktur pelindung rollover daripada karbon direka serata dan secantik mungkin di belakang kerusi, menyatu dengan reka bentuk badan kereta serta bonggol Speedster di bahagian belakang.

Cat utama Blu Cepheus digabungkan dengan riasan Rosso Mars di bahagian bawah kereta.

Gabungan ini merupakan penghormatan kepada warna bandar Bologna iaitu merah dan biru, sekali gus mengingatkan kepada Miura Roadster 1968, roadster pertama dari Lamborghini.

Casis Karbon Teknologi Berbilang

Casis Fenomeno Roadster menggabungkan monokok karbon teknologi berbilang dengan struktur hadapan diperbuat daripada komposit tempa, teknologi yang turut digunakan pada Revuelto.

Walaupun kini hadir tanpa bumbung, casis ini mencapai tahap kekuatan yang hampir setara versi Coupé dengan penambahan berat hanya beberapa kilogram sahaja.

Sistem brek CCM-R Plus cakera karbon-seramik dipinjam daripada teknologi permotoran. 

Bagi tayar pula, Bridgestone membangunkan dua jenis tayar Potenza khusus untuk Fenomeno Roadster.

Tayar Potenza Sport tersedia dalam saiz 265/30 ZRF21 di hadapan dan 355/25 ZRF22 di belakang, dipasang pada roda 21 dan 22 inci.

Selain itu, tayar separa licin generasi baharu turut dibangunkan untuk kegunaan litar, tersedia dalam saiz roda 20 dan 21 inci.

Warisan Few-Off Lamborghini

Fenomeno Roadster menyambung tradisi yang bermula sejak 2007 dengan Reventón dan versi roadster yang menyusul pada 2009.

Tradisi ini diteruskan dengan Veneno pada 2013, Centenario pada 2016 dan Sián pada 2019 dan kesemuanya turut hadir dalam versi roadster.

Jualan Fenomeno Roadster belum dibuka kepada umum dan pengeluaran dihadkan kepada 15 unit sahaja.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here