Utama Berita Automotif Taktik ‘Kunci Bateri’ OTA: BYD, Tesla & 5-jenama gergasi nafi disiasat kerajaan...

Taktik ‘Kunci Bateri’ OTA: BYD, Tesla & 5-jenama gergasi nafi disiasat kerajaan China

9

Beberapa pengeluar automotif termasuk BYD, Tesla, Nio, Xpeng, Zeekr, GAC Aion, dan Li Auto menafikan dakwaan dipanggil oleh pengawal selia China berhubung fungsi “kunci bateri” melalui kemas kini perisian atas talian (OTA).

Penafian ini dibuat selepas senarai khabar angin yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI) tular secara meluas di media sosial, lapor Sina.

Kontroversi itu menyusul susulan laporan dalam talian yang mendakwa pengawal selia telah menemui lapan syarikat kenderaan tenaga baharu (NEV) berkenaan selepas aduan pengguna berkaitan fungsi “kunci bateri” OTA.

Beberapa hantaran juga mendakwa tiga pengeluar telah disiasat secara rasmi dan dua syarikat telah menarik balik pakej kemas kini perisian mereka.

Media gabungan kerajaan China, Shanghai Observer melaporkan bahawa beberapa akaun media sosial automotif memuat naik semula dan mengubah suai liputan terdahulu dengan menambah senarai syarikat yang kononnya terlibat. Namun, beberapa syarikat menyatakan maklumat tersebut adalah palsu.

Penafian Oleh Pengeluar Automotif

  • BYD: Pada 9 Mei menyatakan dakwaan mengenai syarikat itu “ditemubual” atau “disiasat” adalah khabar angin semata-mata dan telah mengumpul bukti untuk tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu.

  • Xpeng: Jabatan undang-undang mereka mendedahkan bahawa sebahagian akaun menggunakan aplikasi AI untuk menghasilkan dakwaan palsu tersebut. Xpeng mengesahkan tidak menerima sebarang notis sedemikian.

  • Tesla: Wakil syarikat memberitahu media China bahawa laporan itu tidak tepat dan menyatakan semua kemas kini perisian melalui prosedur ujian dan pemfailan sebelum dikeluarkan.

  • Nio, Zeekr dan GAC Aion: Turut mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan dalam sebarang perbincangan atau siasatan kawal selia.

Isu Aduan “Kunci Bateri” OTA

Perbincangan ini tertumpu kepada amalan “kunci bateri” (battery lock) yang mana pengeluar kenderaan melaraskan had pengecasan, kedalaman nyahcas, atau kuasa pengecasan dan nyahcas melalui kemas kini perisian tanpa wayar.

Kritikan mendakwa perubahan tersebut boleh mengurangkan prestasi kenderaan atau jarak pemanduan manakala pengeluar biasanya menyifatkan pelarasan sistem pengurusan bateri tersebut sebagai langkah keselamatan.

Menurut laporan media China, platform aduan pengguna kebangsaan menerima lebih 12,000 aduan berkaitan isu kunci bateri OTA pada Mac 2026, peningkatan sebanyak 273 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Topik ini mendapat perhatian lebih luas susulan perbincangan mengenai suhu bateri. Awal minggu lalu, ujian penstriman langsung sistem pengecasan megawatt BYD merekodkan suhu pengecasan 76 darjah Celcius mencetuskan perdebatan mengenai pengurusan haba bateri semasa sesi pengecasan ultra pantas.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here