
Tahun lalu, Tesla memanggil balik Cybertruck susulan isu penggunaan gam yang salah pada panel kemasan keluli yang menurut pengeluar berisiko tercabut ketika memandu.
Terkini, Tesla sekali lagi menganjurkan kempen panggil balik melibatkan Cybertruck berkenaan berkaitan masalah roda akibat penggunaan gris yang salah.
Siri panggil balik ke-11 Cybertruck itu melibatkan model Rear Wheel Drive (RWD) Long Range yang mana risiko berlaku kerosakan pada bahagian rotor brek.
Dalam satu notis yang disiarkan oleh Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA), Tesla menyatakan bahawa “lubang stad rotor brek mungkin retak dan membolehkan stad terpisah daripada hab roda.”
“Pada kenderaan yang terjejas, gegaran jalan raya yang kuat dan pengambilan selekoh boleh memberi tekanan pada lubang stad di bahagian rotor roda, menyebabkan keretakan terbentuk.
“Jika keretakan merebak dengan penggunaan dan tekanan yang berterusan, stad roda akhirnya boleh terpisah daripada hab roda.
“Dalam kes sedemikian, sesetengah pemilik Cybertruck RWD yang sedang memandu mungkin bakal dikejutkan roda tercabut daripada kenderaan,” menurut kenyataan.
Tesla menyatakan akan menggantikan sepenuhnya hab roda, rotor, dan nat roda secara percuma untuk kesemua 173 unit trak pikap elektrik yang terkesan. Isu berkenaan hanya melibatkan versi rim 18-inci Cybertruck RWD yang diperkenalkan pada April 2025.
































