
Malaysia Airlines (MAB) berjaya mengekalkan prestasi ketepatan masa (OTP) melebihi 90 peratus bagi penerbangan pesawatnya sepanjang bulan lalu, sekali gus mencatat kejayaan bulan kedua berturut-turut.
Prestasi membanggakan itu juga membuktikan MAB secara konsisten melepasi sasaran 85 peratus OTP sejak Januari lalu, selain syarikat penerbangan itu merekodkan permintaan penumpang menggalakkan dan menawarkan lebih nilai serta fleksibiliti kepada pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG), Bryan Foong, berkata prestasi mampan itu mencerminkan penambahbaikan operasi berterusan di seluruh rangkaiannya, termasuk peningkatan proses menaiki pesawat dan sokongan di darat yang menyumbang kepada pengalaman perjalanan lebih lancar dan boleh dipercayai pelanggan.
Beliau berkata, permintaan pelanggan juga kekal memberangsangkan apabila Mac lalu, trafik penumpang meningkat 30 peratus tahun ke tahun (YoY), manakala momentum positif diteruskan pada bulan lalu dengan pertumbuhan trafik lapan peratus.
Katanya, pertumbuhan berterusan itu mencerminkan permintaan perjalanan yang stabil di pasaran utama, meskipun persekitaran perjalanan udara global terus berubah.

“Syarikat memahami pengembara kini berdepan suasana tidak menentu, justeru kebolehpercayaan dan fleksibiliti kekal penting ketika merancang perjalanan.
“Kami akan terus memberi tumpuan kepada penyampaian operasi yang selamat dan boleh dipercayai, selain menyediakan fleksibiliti serta sokongan diperlukan pelanggan ketika corak perjalanan terus berkembang.
“Konsistensi operasi yang dicapai sejak beberapa bulan kebelakangan ini, bersama permintaan pelanggan yang berterusan di pasaran utama, menjadi petunjuk menggalakkan terhadap kemajuan stabil yang dicapai MAB,” katanya.
Foong berkata, bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin mementingkan jaminan dan nilai, MAB turut memperkenalkan kempen ‘Now Boarding’ di pasaran utama.
Beliau berkata, kempen itu menghimpunkan pelbagai tawaran dengan fokus utama kepada pelanggan bagi menyokong perjalanan yang lebih fleksibel dan yakin.
“Antara tarikan utama ialah tambang Flex bagi keluarga yang membolehkan pelanggan membuat perubahan penerbangan tanpa had dan caj tambahan, sekali gus memberikan ketenangan minda jika rancangan perjalanan berubah.
“Pelanggan yang membuat tempahan terus menerusi laman web rasmi atau aplikasi mudah alih MAB juga boleh menikmati pelbagai manfaat eksklusif, termasuk penjimatan lima peratus bagi ahli Enrich, diskaun sehingga 15 peratus bersama Maybank serta pulangan tunai sehingga RM150 melalui UnionPay,” katanya.
Foong berkata, jenama syarikat penerbangan itu semakin membanggakan apabila nilainya meningkat 27 peratus kepada USD771 juta, selain naik empat anak tangga ke kedudukan ke-41 dunia, didorong pemulihan berterusan dan fokus terhadap pengalaman premium berteraskan pelanggan.


