
Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Persekutuan Rusia kini berada di tahap paling unik dan bersejarah apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kini menjadi antara individu di dunia yang memiliki limosin mewah, Aurus Senat.
Pemilikan kenderaan kebanggaan Rusia itu bukan sekadar ahli baharu koleksi peribadi Baginda, malah ia disifatkan sebagai satu penghormatan tertinggi yang melambangkan persahabatan kukuh antara kedua-dua negara.
Untuk rekod, Aurus merupakan jenama kenderaan rasmi bagi kepimpinan tertinggi Persekutuan Rusia. Model Senat ini adalah kenderaan yang sering digunakan oleh Presiden Vladimir Putin dalam acara rasmi negara dan majlis diplomatik berprofil tinggi.
Keistimewaan Aurus Senat terletak pada gabungan teknologi moden Rusia serta ciri keselamatan bertaraf ‘kereta kebal’ yang menjadikannya antara kenderaan paling selamat di dunia.
Bahkan, model ini sangat jarang ditemui di luar Rusia kerana ia tidak dieksport secara meluas ke pasaran antarabangsa.
Majlis Serahan Di Muzium Garaj Khas
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke Muzium Garaj Khas di Moscow yang menempatkan himpunan lebih 50 unit kereta dan motosikal ikonik pada Ahad.
Pada lawatan berkenaan, Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai koleksi-koleksi bersejarah di muzium itu sebelum berlangsungnya majlis serahan Limosin Aurus Senat milik Seri Paduka Baginda.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Timbalan Menteri Pertama Industri dan Perdagangan Rusia, Kirill Alekseevich Lysogorsky; Pengarah Muzium, Belikov AV dan Ketua Pegawai Eksekutif NAMI, Nazarov FL.
Pemilikan limosin ini sekali lagi membuktikan prestij Seri Paduka Baginda di persada antarabangsa, khususnya dalam dunia automotif eksklusif.
































