
Suatu ketika dahulu, Volga merupakan plet nama yang dikhususkan untuk sedan eksekutif yang dihasilkan oleh pengeluar GAZ (Gorkovsky avtomobilny zavod, atau Gorky Automobile Plant).
Sejak daripada 1950-an lagi, Volga merupakan satu lambang kejayaan di mana ia dimiliki oleh kasta atasan di Soviet Union.
Kini, setelah beberapa tahun menyepi jenama Volga dihidupkan semula menjadi satu jenama yang berdiri sendiri dan menampilkan dua model baharu, iaitu sedan C50 dan SUV K50.
Volga C50 secara asasnya merupakan sebuah Geely Preface sebelum diberikan identiti sendiri pada lencana dan jeriji hadapan.
Tidak banyak perubahan dibawakan pada ruang kabin, di mana ia turut mengekalkan roda stereng empat jejari, skrin kluster digital dan skrin infohibur menegak di tengah.
Sedan ini dijana enjin 2.0L turbo yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.
Sementara Volga K50 pula merupakan sebuah Geely Monjaro yang turut diberikan identiti tersendiri seperti jeriji hadapan yang membawakan lencana Volga.
Ia dipacu enjin 2.0L turbo dengan kuasa sekitar 238 hp, dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda.
Tiada sebarang tanda harga diumumkan, namun kedua-dua model ini akan dibina di kilang yang sebelum ini digunakan untuk memasang model Skoda dan Volkswagen di Nizhny Novgorod.

































