
Rumah Putih dilaporkan menaiktaraf keupayaan keselamatan pesawat mewah baharu Air Force One (jet jumbo Boeing 747-8) bernilai USD400 juta (RM1.86 bilion) yang dihadiahkan oleh kerajaan Qatar.
Ia susulan pegawai pentadbiran membincangkan keperluan secara dalaman agar Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menghindari menggunakan jet berkenaan di kawasan berisiko tinggi, menurut dua sumber dalaman.
Bagaimanapun, masih belum diketahui peringkat penambahbaikan yang bakal dijalankan pada akhir musim luruh berkenaan.
Sumber berkenaan menyatakan bahawa sebelum Trump terbang ke Turki awal bulan ini, para pegawai mencadangkan Presiden tidak menaiki jet itu ke kawasan yang boleh mendatangkan risiko lebih tinggi kepadanya, khususnya Israel, di tengah peperangan berlanjutan selama berbulan-bulan dengan Iran.
Trump, yang sebelum ini memuji secara berlebihan pesawat itu, tetap menggunakannya ke Turki awal bulan ini selepas penilaian awal menyatakan ia selamat oleh pegawai-pegawai tertinggi, kata sumber tersebut.
Tetapi, kemudian para pegawai menyedari bahawa kelulusan bagi perjalanan tersebut merupakan satu kesilapan, kata salah seorang sumber.
Seorang lagi sumber menggariskan bahawa penilaian keselamatan kerap berubah dari masa ke semasa.
Trump secara terbuka seakan-akan mengakui bahawa pesawat itu memerlukan penambahbaikan keselamatan tambahan, apabila memberitahu wartawan pada Ahad bahawa ia bakal berada pada tahap maksimum tidak lama lagi.
Beliau berkata penambahbaikan itu akan mengambil masa kira-kira sebulan untuk menyiapkan perubahan yang dirancang iaitu satu tempoh masa yang menurut pakar tidak cukup untuk naik taraf signifikan.
Semasa berlepas meninggalkan Turki, Trump memilih untuk menaiki pesawat lama berbanding jet baharu berkenaan, sekali gus mencetuskan penelitian terhadap kekurangan fungsi keselamatan.
Meskipun Trump berdalih pertukaran itu dibuat supaya anggota tentera AS di pangkalan udara United Kingdom dapat melihat pesawat berkenaan, bukannya disebabkan oleh kekurangan langkah keselamatan.
Sumber perisikan mengesahkan pegawai keselamatan lebih yakin dengan tahap perlindungan pada pesawat lama.
Walau bagaimanapun, dua sumber yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu sebelum ini memberitahu CNN bahawa pesawat baharu tersebut tidak mempunyai keupayaan yang sama untuk menjamin keselamatan presiden di persekitaran antarabangsa.
MAKLUMAT DALAM BOCOR, PEGAWAI DIMINTA SERAH TELEFON BIMBIT

Laporan susulan mengenai kebimbangan keselamatan berhubung pesawat itu telah membangkitkan kemarahan presiden, sekali gus mencetuskan siasatan luar biasa terhadap kebocoran maklumat termasuk tindakan mengeluarkan sepina ke atas wartawan New York Times yang pertama kali melaporkan isu berkenaan.
Pegawai-pegawai di Rumah Putih turut diminta untuk menyerahkan telefon bimbit masing-masing sebagai sebahagian daripada proses siasatan.
Pada Isnin, Setiausaha Akhbar, Karoline Leavitt mengesahkan bahawa jet baharu itu dijadualkan melalui proses penyelenggaraan lanjut, walaupun beliau tetap mempertahankan bahawa ia sepenuhnya selamat.
“Air Force One baharu ini sepenuhnya selamat untuk perjalanan Presiden, tetapi akan menerima penambahbaikan serta peningkatan keupayaan tambahan pada musim luruh yang akan mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Trump dijangka akan menggunakan jet tersebut bagi penerbangan domestik dan kemungkinan beberapa perjalanan antarabangsa sebelum proses penambahbaikan dijalankan, kata salah seorang sumber dengan menambah penilaian yang menganggapnya selamat untuk diterbangkan ke destinasi berisiko rendah.
Ini termasuk penerbangan ke Ireland yang mana beliau sedang mempertimbangkan untuk mengadakan lawatan pada September.
PAKAR PENERBANGAN : 30 HARI HANYA CUKUP PASANG PEMEGANG CAWAN JURUTERBANG

Tempoh satu bulan yang ditetapkan oleh pihak pentadbiran untuk menaik naik taraf sistem keselamatan jet tersebut bagaimanapun dipertikaikan oleh pakar industri penerbangan.
Pengarah Pengurusan AeroDynamic Advisory, Richard Aboulafia memberitahu CNN bahawa tiada penambahbaikan signifikan yang boleh dilakukan secara munasabah ke atas sesebuah pesawat dalam tempoh sependek itu.
“Untuk tempoh 30 hari, terdapat beberapa pilihan pemegang cawan juruterbang yang mungkin mereka mahu usahakan,” gurau beliau.
Pihak tentera mengambil alih pemilikan jet tersebut daripada Qatar pada tahun lalu, dan kerja-kerja yang dijalankan ke atasnya mengambil masa lebih sedikit daripada setahun untuk disiapkan.
Beliau menambah bahawa proses mengimbas kelemahan keselamatan serta memasang peralatan komunikasi asas memang boleh dibuat dalam tempoh singkat.
Namun, untuk membolehkan sesebuah jet mencapai standard perlindungan penuh seperti Air Force One yang asal, ia secara praktikal memakan masa bertahun.
“Untuk mencapai standard Air Force One yang lama — itu mengambil masa beberapa tahun,” kata Aboulafia, yang telah berkhidmat sebagai analisis dan perunding penerbangan sejak tahun 1988.
Jet yang dihadiahkan itu berfungsi sebagai pesawat penghubung sementara bagi menggalas peranan Air Force One sehinggalah Boeing selesai pemasangan dua buah pesawat baharu.
Untuk rekod, jet tersebut dilengkapkan dengan hiasan dalaman mewah bernuansa emas mengikut cita rasa peribadi Trump.
Ia diguna pakai sementara menunggu syarikat Boeing menyiapkan dua buah pesawat rasmi Air Force One generasi baharu (berasaskan model 747-8), yang penghantarannya terus terhalang oleh kelewatan serta peningkatan kos sehingga dijadualkan siap pada tahun 2028 kelak.

































