Utama Berita Automotif Polis tahan dua warga Myanmar, 6,000 pil yaba dalam Proton Preve

Polis tahan dua warga Myanmar, 6,000 pil yaba dalam Proton Preve

12

Polis menahan dua lelaki warga Myanmar dan merampas 6,000 biji pil disyaki yaba dalam Ops Tapis Bersepadu di Gua Musang, semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supritendan Sik Choon Foo berkata kedua-dua suspek berusia 32 dan 36 tahun itu ditahan selepas Proton Preve yang mereka naiki bertindak membuat pusingan U sebaik menghampiri sekatan jalan raya di KM9, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, kira-kira jam 11 pagi.

Beliau berkata anggota polis kemudian mengejar kenderaan itu dengan bantuan Balai Polis Bertam sebelum kereta berkenaan terbabas dan melanggar sebuah lori di Kampung Kuala Lah berhampiran simpang tiga Jerek-Meranto.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebuah beg silang mengandungi 6,000 biji pil disyaki dadah jenis yaba.

“Polis turut merampas sebuah Proton Preve, lima unit telefon bimbit dan satu kunci kereta dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM60,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sik berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku memiliki dadah berkenaan, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif methamphetamine.

Beliau berkata seorang daripada suspek turut mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kedua-dua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Sik berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dadah serta individu lain yang terlibat.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here