Utama Berita Automotif ECRL berpotensi ganti 79 lori setiap perjalanan tren

ECRL berpotensi ganti 79 lori setiap perjalanan tren

10

Perkhidmatan kargo Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berpotensi menggantikan 79 lori bagi setiap perjalanan tren, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan jalan raya dan risiko kemalangan melibatkan kenderaan berat.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata sebuah tren kargo ECRL yang dilengkapi sehingga 45 gerabak mampu membawa muatan mencecah 3,150 tan dalam satu-satu masa.

Beliau berkata kapasiti besar itu jauh melangkaui keupayaan sebuah lori yang secara purata hanya mampu membawa muatan maksimum 40 tan bagi setiap perjalanan.

“ECRL dirancang sebagai infrastruktur pengangkutan kargo penting untuk menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang serta Pelabuhan Klang selaras dengan inisiatif peralihan dari jalan raya kepada rel.

“Melalui peralihan sebahagian pergerakan kargo daripada jalan raya kepada rel ini, perkhidmatan ECRL berpotensi membantu mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan berat di lebuh raya utama, khususnya laluan menghubungkan Pantai Timur dan Lembah Klang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Hasbi menjawab soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani mengenai sejauh mana penggunaan ECRL dapat membantu mengurangkan jumlah kenderaan berat bagi meningkatkan tahap keselamatan lebuh raya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan keberkesanan peralihan itu bergantung kepada beberapa faktor termasuk kadar penggunaan industri, struktur tarif kompetitif serta ketersambungan rangkaian first-mile dan last-mile.

‘First-mile’ merujuk langkah awal pengumpulan barangan daripada pengeluar ke hab transit, manakala ‘last-mile’ bertindak sebagai pelengkap rantaian yang menghantar produk terus kepada pelanggan.

Menyentuh usaha memastikan ECRL menjadi pilihan utama, Hasbi berkata kerajaan sedang merancang pembangunan pelbagai hab industri di sepanjang jajaran, selain pembinaan laluan susur yang menghubungkan terus ke Pelabuhan Kuantan.

“Di sepanjang jajaran ini sudah pasti akan tumbuh hab-hab industri, termasuk kilang kenderaan yang telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk menggunakan perkhidmatan ini. Semua ini adalah bagi memastikan penggunaan ECRL sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata kajian peralihan mod pengangkutan kargo menganggarkan sebanyak 24.3 juta tan kargo setahun berpotensi dialih dari jalan raya kepada rel menjelang 2050.

“Berdasarkan andaian muatan 10 hingga 20 tan bagi setiap lori, jumlah tersebut secara indikatif bersamaan dengan pengurangan kira-kira 3,300 hingga 6,700 perjalanan lori bermuatan sehari bagi perjalanan jarak jauh.

“Angka ini merujuk kepada pengurangan perjalanan dan bukannya bilangan lori fizikal kerana lori masih diperlukan bagi penghantaran first-mile dan last-mile,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here