
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diunjurkan menjana sumbangan nilai tambah terkumpul sebanyak RM80 hingga RM90 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2047.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata sumbangan tersebut akan dipacu oleh pembangunan 21 Projek Pemecut Ekonomi (EAP), yang dijangka menjadi pemangkin utama kepada pulangan ekonomi di sepanjang koridor ECRL.
“Beberapa stesen ECRL telah dikenal pasti sebagai hab logistik baharu. Sebagai contoh, kawasan seluas 213 ekar (86.2 hektar) di Pasir Puteh, Kelantan; 68 ekar (27.5 hektar) di Kemaman, Terengganu dan 50 ekar (20.2 hektar) di Temerloh, Pahang. Ketiga-tiga daerah ini telah diperuntukkan sebagai hab logistik.
“ECRL bukan sekadar infrastruktur pengangkutan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan pelaburan yang mampan selain mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti,” katanya kepada Bernama.

Mohd Shahar berkata kerajaan komited untuk memastikan projek ECRL bukan sahaja meningkatkan rangkaian pengangkutan negara, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi tempatan selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI.
Katanya fasa pertama hab logistik Perodua di Paya Besar, Kuantan, dijangka siap pada 2029, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh industri tempatan dan mewujudkan peluang pekerjaan di sepanjang koridor ECRL.
Mohd Shahar, yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata ECRL wajar dilihat sebagai infrastruktur pelengkap yang memperkukuh keseluruhan ekosistem logistik Malaysia, bukannya sebagai pengganti kepada laluan perkapalan antarabangsa sedia ada.
“Projek ECRL juga bertujuan mengurangkan jurang pembangunan antara Pantai Timur dan Pantai Barat dengan memperkasakan rangkaian logistik,” katanya.
Menurut Mohd Shahar, pelaksanaan inisiatif tersebut telah digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang menggunakan Indeks Komposit Pembangunan Malaysia dan sistem MyRMK untuk memastikan peruntukan dan projek disalurkan dengan lebih tepat dan berkesan ke kawasan yang memerlukan.
Projek infrastruktur nasional bernilai RM50.27 bilion itu dijadualkan siap pada Disember 2026 dan dijangka mula beroperasi pada Januari 2027.
Projek ECRL sepanjang 665km itu memperuntukkan sebanyak 11 set EMU enam gerabak bagi perkhidmatan penumpang dan 12 lokomotif elektrik (E-Loco) untuk tujuan kargo.
































