
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu melakar sejarah tersendiri apabila Mahkamah Tinggi Terengganu mengekalkan sabitan dan hukuman lucut hak ke atas sebuah lori milik sebuah syarikat ekoran kesalahan membawa lebih muatan.
Pengarah JPJ Negeri, Zamri Samion berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah menolak rayuan syarikat berkenaan, sekali gus mengekalkan keputusan asal Mahkamah Majistret Kuala Berang.
Menurutnya, sebelum ini pihak syarikat telah dijatuhi hukuman denda sebanyak RM11,000 serta Perintah Lucut Hak kenderaan kepada Ketua Pengarah JPJ Malaysia.
”Kes ini melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 57(1)(a) dan (b)(vi) yang dibaca bersama Seksyen 80(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).
”Syarikat terbabit didapati melanggar Syarat Lesen Pengendali apabila membawa muatan balak dengan lebihan berat mencecah 95.88 peratus daripada had yang dibenarkan,” katanya.
Beliau menjelaskan, perbicaraan kes tersebut telah memakan masa selama setahun bermula September 2024 hingga September 2025 dengan melibatkan keterangan daripada sembilan orang saksi.
Mengulas lanjut, Zamri berkata, keputusan tersebut merupakan kes pertama dalam sejarah JPJ Terengganu yang melalui proses perbicaraan penuh sehingga ke peringkat Mahkamah Tinggi dan berjaya mengekalkan perintah pelucuthakan kenderaan.
Beliau berkata, keputusan itu dijangka memberi impak besar kepada industri pengangkutan komersial, terutama dalam mengubah persepsi negatif sesetengah pihak terhadap undang-undang jalan raya.
”Kita mahu ubah persepsi bahawa kesalahan lebih muatan ini bukan sekadar ‘kos operasi’ biasa yang boleh dibayar dengan denda sahaja.
”Tindakan pelucuthakan aset fizikal ini membuktikan bahawa pelanggaran serius boleh mengakibatkan syarikat kehilangan terus aset mereka, sekali gus menjadi langkah pencegahan yang lebih berkesan,”ujar beliau.
Dalam pada itu, JPJ menegaskan bahawa penguatkuasaan terhadap kesalahan lebih muatan akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa.
Katanya, langkah itu penting bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya serta mengelakkan kerosakan berterusan terhadap infrastruktur awam yang menelan kos baik pulih yang tinggi.






























