
Hyundai Motor Company ‘mendedahkan’ model elektrik baharu mereka – Hyundai IONIQ V – yang dibina khusus untuk menembusi pasaran China.
Model ini menjadi kenderaan pertama di bawah barisan IONIQ yang disesuaikan secara tempatan, menggabungkan kejuruteraan global Hyundai dengan teknologi dan keperluan pengguna China.
IONIQ V tampil sebagai SUV elektrik premium dengan ruang kabin luas, teknologi pintar serta jarak pemanduan panjang.
Versi long-range model ini didakwa mampu mencapai lebih 600km mengikut standard CLTC, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jauh.
IONIQ V menggunakan bahasa gaya baharu dikenali sebagai “The Origin” yang diinspirasikan daripada konsep VENUS.
Siluet satu lengkung memberikan profil lebih aerodinamik, dipadankan dengan lampu hadapan futuristik, cermin sisi terapung serta pintu frameless bagi menonjolkan karakter berteknologi tinggi.
Dimensinya pula dengan panjang sekitar 4,900mm, lebar 1,890mm dan jarak roda 2,900mm. Ini membolehkan ruang kabin lebih lapang, termasuk ruang kaki barisan pertama 1,078mm dan barisan kedua 1,019mm.
Untuk ruangan dalaman, tumpuan utama ialah paparan panoramik 27-inci ultra nipis resolusi 4K menggabungkan fungsi pemanduan dan infotainmen dalam satu panel.

Ia disokong paparan head-up jenis Horizon (H-HUD) yang memaparkan maklumat penting terus ke medan pandangan pemandu.
Sistem audio lapan pembesar suara dengan sokongan Dolby Atmos turut ditawarkan sebagai standard.
Dari segi pengalaman pemanduan, IONIQ V dilengkapi talaan casis dan suspensi yang memfokuskan keselesaan serta kestabilan.
Hyundai turut memberi perhatian kepada penebatan bunyi bagi mengurangkan gangguan angin dan jalan, menghasilkan kabin lebih senyap bagi perjalanan jauh.
Model ini menampilkan pembantu AI pintar berasaskan large language model (LLM), dikuasakan cip Qualcomm Snapdragon 8295.
Sistem ini membolehkan kawalan fungsi kenderaan melalui arahan suara lebih natural, selain teknologi bantuan pemandu termaju dibangunkan bersama rakan teknologi tempatan bagi meningkatkan keselamatan dan keyakinan pemandu.
Antara ciri keselamatan utama termasuk struktur badan diperkukuh, sistem perlindungan berlapis, sembilan beg udara serta fungsi Pedal Misapplication Safety Assist yang membantu mengelakkan pecutan tidak disengajakan.
Dengan kombinasi reka bentuk futuristik, ruang dalaman luas, teknologi AI dan jarak pemanduan panjang, IONIQ V menjadi langkah penting dalam strategi elektrifikasi Hyundai di China, khususnya untuk segmen SUV elektrik premium.


