Utama Berita Automotif MGS5 EV pemasangan tempatan oleh MG Motor Malaysia rasmi masuk pasaran

MGS5 EV pemasangan tempatan oleh MG Motor Malaysia rasmi masuk pasaran

7

MG Motor Malaysia secara rasmi melancarkan MGS5 EV yang dipasang secara tempatan (CKD) untuk pasaran Malaysia dengan harga bermula RM116,900.

Pelancaran itu menandakan fasa baharu usaha lokalisasi jenama berkenaan susulan pengeluaran pertama model CKD di Melaka awal Mac lalu.

Dibangunkan berasaskan platform elektrik pacuan roda belakang khusus MG, MGS5 EV menggabungkan kegunaan harian dengan prestasi pemanduan, dengan versi CKD menawarkan kuasa sehingga 151kW serta 350Nm tork berbanding model import (CBU) sebelum ini.

Dari segi pengecasan, model itu menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150kW, membolehkan bateri dicas daripada 10 peratus ke 80 peratus dalam tempoh kira-kira 26 minit.

Kenderaan itu juga menawarkan jarak pemanduan sehingga 446 kilometer (WLTP), selain reka bentuk bateri ultra nipis yang membantu meningkatkan ruang kabin serta kestabilan pemanduan.

Varian MGS5 EV LUX Long Range dilengkapi ciri tambahan termasuk tempat duduk kulit tiruan penuh, tempat duduk hadapan berpengudaraan, pelarasan kuasa untuk tempat duduk penumpang hadapan serta pintu but belakang kuasa tanpa sentuhan.

Dari aspek keselamatan, model berkenaan dilengkapi tujuh beg udara dan sistem bantuan pemandu canggih (ADAS 2.5) termasuk Traffic Jam Assist serta Intelligent Cruise Control, selain menerima penarafan lima bintang daripada Euro NCAP dan ASEAN NCAP.

Bagi pemilikan, MGS5 EV ditawarkan dengan jaminan pek bateri selama lapan tahun atau 180,000 kilometer serta jaminan lapan tahun atau 160,000 kilometer untuk unit kawalan motor.

Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia, Emory Qi berkata, pelancaran model pemasangan tempatan itu adalah pencapaian penting bagi jenama terbabit di Malaysia.

“Pelancaran rasmi MGS5 EV yang dipasang tempatan ini mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap lokalisasi, inovasi serta penawaran kenderaan elektrik yang menyatukan prestasi, teknologi dan kepraktisan buat pelanggan di Malaysia.

“Melalui model ini, kami juga melihat Malaysia sebagai pasaran strategik dan hab pembuatan bagi MG di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemasangan tempatan MGS5 EV dijalankan di fasiliti PEPS-JV di Melaka melalui kerjasama dengan EP Manufacturing Bhd, yang turut menyokong pembangunan rantaian bekalan serta pemindahan teknologi dalam industri automotif tempatan.

Kemudahan itu berupaya memasang kenderaan elektrik bateri (BEV), hibrid (HEV) dan enjin pembakaran dalaman (ICE), dengan kapasiti pengeluaran MGS5 EV dianggarkan antara 120 hingga 180 unit sebulan, atau sekitar 1,500 hingga 2,000 unit bagi tahun 2026.

Tempahan untuk model itu kini dibuka, dengan harga bagi varian MGS5 EV LUX Long Range bermula daripada RM116,900.

Sempena pelancaran, syarikat turut menawarkan pakej promosi bernilai sehingga RM9,000, tertakluk kepada terma dan syarat.

MG Motor Malaysia juga akan menganjurkan acara uji pandu di semua bilik pamerannya di seluruh negara pada hujung minggu ini bagi membolehkan orang ramai merasai pengalaman pemanduan model berkenaan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here