
Nissan memperkenalkan dua buah model konsep SUV kenderaan tenaga baharu (NEV) di Pameran Motor Beijing 2026 atau Auto China 2026.
China pasaran penting buat Nissan dan Presiden dan CEO Nissan, Ivan Espinosa menyatakan negara itu merupakan pasaran yang kompetitif dan sumber inovasi buat syarikat.
Melalui inovasi, Nissan akan mencipta nilai dan pengalaman baharu untuk pelanggan di China serta pasaran global.
Nissan komited menyediakan teknologi canggih melalui mobiliti yang lebih selamat, intuitif dan mudah diakses dalam kehidupan harian.
China memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi tersebut.
Dua Model SUV Konsep Global, Serangan di China
Nissan mendedahkan dua model SUV konsep yang akan memulakan serangan produk NEV di China.
Model pertama ialah Urban SUV PHEV Concept yang dibangunkan khusus untuk pelanggan muda di China.
Rekabentuk model ini menerapkan elemen yang serupa dengan NX8 serta barisan SUV masa depan Nissan.
Ia menggunakan teknologi elektrifikasi canggih dan menawarkan prestasi yang sesuai untuk pemanduan harian di kawasan bandar.
Model kedua ialah Terrano PHEV Concept yang menghidupkan semula nama ikonik Nissan.
Model ini dilengkapi teknologi hibrid plug-in terkini dan mewarisi prestasi pemanduan off-road tahap tinggi yang telah lama dibangunkan oleh Nissan.
Model ini direka untuk memenuhi dua keperluan utama pelanggan iaitu keupayaan merentas laluan off-road dan keselesaan semasa berulang-alik di kawasan bandar.
Reka bentuk berkotak dan lasak yang dibawa Terrano PHEV Concept sudah menjadi trend di China dan turut boleh dirasai di pasaran tempatan.
Versi pengeluaran untuk kedua-dua model konsep tersebut dijadualkan akan didedahkan dalam tempoh setahun.
Nissan juga merancang untuk memperkenalkan tiga lagi model NEV baharu di pasaran China dalam tempoh tahun yang sama bagi memperkukuh barisan produk dan transformasi jenama.
Peranan Strategik China dalam Visi Nissan, Eksport ke ASEAN
Melalui visi baharu bertema Mobility Intelligence for Everyday Life, Nissan meletakkan China bersama-sama Jepun dan Amerika Syarikat sebagai tiga pasaran utama.
China memainkan dua peranan penting iaitu sebagai pasaran domestik yang kuat dengan nilai tinggi untuk pelanggan tempatan, serta sebagai hab inovasi dan eksport global.
Nissan memanfaatkan kepantasan dan inovasi di China untuk membangunkan teknologi serta produk yang berdaya saing bagi pasaran dunia.
Sejak tahun 2025, Nissan telah mula memperkenalkan model NEV di China seperti N7, Frontier Pro PHEV, N6 dan NX8.
Dengan menggabungkan piawaian kualiti global Nissan, kepantasan China, dan teknologi tempatan yang canggih, model-model ini telah mendapat pujian tinggi daripada pengguna di China.
Sedan N7 dijadualkan untuk dieksport ke pasaran ASEAN serta Amerika Tengah dan Selatan.
Pikap Frontier Pro pula akan dieksport ke ASEAN, Amerika Tengah dan Selatan, serta Timur Tengah.
Nissan turut merancang untuk mengeksport NX8 dan Terrano PHEV Concept.
Menjelang tahun kewangan 2030, Nissan menyasarkan peningkatan jualan di China sehingga 1 juta unit setahun.
Kredit gambar: Nissan
Nissan Terrano PHEV Concept
Nissan Urban SUV PHEV Concept





































