
Tesla dilaporkan cuba menghalang pembeli daripada menjual semula Model S dan Model X Signature Edition dengan mengeluarkan syarat mandatori bagi pembeli untuk menandatangani perjanjian yang melarang penjualan semula.
Ini bermakna pemilik tidak begitu mudah untuk memiliki edisi terhad berkenaan, mendapatkan keuntungan segera dan terus beralih ke kenderaan lain. Jika didapati pelanggan melanggar syarat berkenaan, Tesla boleh menuntut ganti rugi dalam jumlah yang besar.
Menurut laporan, pembeli bersetuju untuk tidak menjual kenderaan tersebut dalam tempoh tahun pertama pemilikan. Peraturan ini terpakai kepada versi terhad Signature Edition Model S dan X yang mana difahamkan pengeluaran sebanyak 350 unit.

Kerana jumlah yang terhad, syarikat bimbang akan berlakunya aktiviti ‘ulat kereta’. Jika pemilik melanggar perjanjian tersebut, Tesla dilaporkan boleh menuntut ganti rugi sebanyak USD50,000 (RM197,550) atau menuntut nilai penuh yang diterima daripada hasil jualan tersebut (mana yang lebih tinggi).
Tesla juga boleh menyekat proses pindah milik geran kenderaan tersebut bahkan syarikat boleh menyenaraihitam pelanggan berkenaan daripada membeli kenderaan baharu pada masa hadapan.
Namun, terdapat satu pengecualian: Jika pemilik mempunyai alasan yang kukuh untuk menjual kereta itu lebih awal, perlu memaklumkan kepada Tesla terlebih dahulu yang mana syarikat berpeluang membeli semula kereta tersebut.
Sekiranya Tesla enggan membelinya semula, pemilik mungkin dibenarkan menjualnya kepada orang lain, tetapi hanya dengan kebenaran bertulis.
Sebelum ini, Tesla pernah mencuba klausa anti-jualan semula yang sama untuk Cybertruck, dan pengeluar kereta lain juga pernah menggunakan taktik yang serupa.
Signature Edition berkenaan dijual pada harga sekitar USD159,420 (RM629,868) dengan warna badan istimewa, kemasan emas, lencana unik dan plak nombor.































