Utama Berita Automotif #KLIMS2026: Mazda CX-5 baharu tiba di Malaysia, tempahan kini dibuka!

#KLIMS2026: Mazda CX-5 baharu tiba di Malaysia, tempahan kini dibuka!

9

Bermaz Motor mempertontonkan Mazda CX-5 serba baharu buat pertama kali kepada umum di Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026).

Diperkenalkan di peringkat global pada tahun 2025, generasi ketiga CX-5 menandakan lembaran baharu bagi SUV teras Mazda.

Model itu dibangunkan berasaskan pendekatan kejuruteraan berpusatkan manusia, selain menampilkan rekaan yang diperhalusi dan pengalaman pemanduan yang dipertingkat.

Sebagai antara model paling dikenali dan paling laris Mazda di peringkat global, CX-5 baharu dibangunkan berasaskan falsafah jenama itu yang menekankan hubungan semula jadi dan intuitif antara pemandu dan kenderaan.

Evolusi terbaharu ini turut memberi tumpuan kepada keseimbangan, keselesaan dan praktikaliti harian yang menjadi faktor utama populariti CX-5 dalam kalangan keluarga, golongan profesional dan pengguna bandar.

Rekaan baharu dan praktikal

Mazda CX-5 serba baharu dibangunkan berasaskan konsep rekaan Wearable Gear yang menampilkan bentuk lebih sporti dan berkeyakinan untuk kegunaan bandar mahupun pengembaraan.

SUV itu menerima perkadaran baharu bersama jarak roda yang dipanjangkan bagi meningkatkan kehadiran di jalan raya, kestabilan serta praktikaliti penggunaan harian.

Menurut Mazda, permukaan badan yang lebih kemas, grafik lampu yang diperhalusi dan kedudukan yang lebih tegap turut menonjolkan evolusi terkini falsafah rekaan Kodo.

Hasilnya ialah sebuah SUV yang direka untuk disepadukan dengan gaya hidup moden sambil mengekalkan keseimbangan antara kesederhanaan dan karakter yang kuat.

Kabin lebih selesa dan diperhalusi

Di bahagian dalam, Mazda meneruskan fokus terhadap suasana kabin yang tenang dan harmoni.

Susun atur dalaman direka dengan penekanan terhadap kejelasan, keselesaan dan kemudahan penggunaan bagi memastikan pengalaman pemanduan yang lebih santai sama ada dalam trafik bandar mahupun perjalanan jarak jauh.

Mazda turut menyatakan beberapa aspek telah dipertingkat termasuk:

  • Mutu bahan dalaman
  • Ergonomik
  • Tahap kesenyapan dalaman

Penambahbaikan tersebut bertujuan meningkatkan lagi tahap kemewahan dan keselesaan yang menjadi identiti CX-5.

Peningkatan dimensi turut menyumbang kepada ruang kaki, ruang lutut dan ruang kepala yang lebih baik untuk penumpang belakang, selain ruang kargo yang lebih besar berbanding model sebelumnya.

Teknologi sambungan terkini

Mazda CX-5 serba baharu turut menerima teknologi sambungan dan maklumat hibur terkini yang dibangunkan untuk disepadukan dengan keperluan gaya hidup moden.

Sistem tersebut direka bagi menyokong penggunaan harian termasuk perjalanan ulang alik ke tempat kerja serta aktiviti hujung minggu, sekali gus menjadikan CX-5 sebagai SUV yang mampu memenuhi pelbagai keperluan pengguna.

Mazda bagaimanapun masih belum mendedahkan spesifikasi penuh sistem maklumat hiburan untuk pasaran Malaysia.

Rangkaian kuasa masih belum diumumkan

Mazda belum mendedahkan spesifikasi terperinci rangkaian kuasa CX-5 serba baharu yang bakal dipasarkan di Malaysia.

Bagaimanapun, pengunjung KLIMS 2026 berpeluang memandu uji Mazda CX-5 2.5L sepanjang acara berlangsung.

Sebagai rujukan, model global yang diperkenalkan pada tahun 2025 menggunakan enjin petrol 2.5 liter e-Skyactiv G yang dipadankan dengan sistem hibrid ringan Mazda M Hybrid 24V serta teknologi brek-melalui-wayar.

Model tersebut turut ditawarkan dengan pilihan pacuan roda hadapan dan pacuan semua roda bergantung kepada pasaran.

Mazda Malaysia dijangka mengumumkan butiran penuh spesifikasi tempatan apabila dilancarkan secara rasmi kelak.

Tempahan dibuka 12 Jun

Mazda mengumumkan tempahan untuk CX-5 serba baharu akan dibuka di semua bilik pameran Mazda sah di seluruh negara bermula 12 Jun 2026 menjelang ketibaannya ke pasaran Malaysia.

Selain CX-5 serba baharu, Mazda turut membawa CX-60 3.3 MHEV, Mazda3 2.0L, MX-5 dan CX-80 2.5L PHEV ke KLIMS 2026.

Menariknya, pengunjung juga boleh menyertai sesi pandu uji eksklusif Mazda3 2.0L dan Mazda CX-5 2.5L sepanjang pameran berlangsung.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here