
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sedang menyediakan kajian kebolehlaksanaan bagi membawa kembali perlumbaan Formula Satu (F1) ke Malaysia untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada November ini, lapor Bernama.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata SIC kini mengadakan sesi libat urus dengan kerajaan, agensi berkaitan serta pemain industri bagi mendapatkan maklumat dan data yang tepat untuk dimasukkan dalam kajian berkenaan.
Beliau berkata hasil kajian itu akan menjadi antara asas pertimbangan kerajaan sebelum membuat keputusan mengenai kemungkinan Malaysia kembali menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij tersebut.
“Kita dalam fasa merangka kajian kebolehlaksanaan bagi membawa kembali perlumbaan F1 ke Malaysia. November ini, kita akan bentangkan satu kertas cadangan kepada Kabinet untuk kerajaan membuat keputusan sama ada bersetuju ataupun tidak.
“Dalam tempoh ini, kita dijangka mengadakan sesi libat urus dengan pihak kerajaan, agensi berkaitan serta industri yang terlibat bagi memastikan data yang dikemukakan adalah tepat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Azhan Shafriman berkata kajian berkenaan akan memberi penekanan terhadap impak ekonomi penganjuran F1, selain menilai tahap kesiapsiagaan negara khususnya dari aspek pengurusan kesesakan lalu lintas dan kemudahan pengangkutan awam.
Mengulas prospek Malaysia kembali menjadi tuan rumah F1, beliau menyifatkan peluang itu masih 50-50 memandangkan keputusan akhir terletak pada pertimbangan kerajaan berdasarkan dapatan kajian berkenaan.
“Pada ketika ini masih 50-50. Sukar untuk saya katakan sama ada ya ataupun tidak. Tapi insya-Allah kita akan bagi data-data ataupun info yang sahih untuk kerajaan membuat keputusan,” katanya.
Sementara itu, mengenai kemungkinan Sepang menjadi lokasi alternatif bagi perlumbaan antarabangsa susulan ketegangan di Asia Barat, Azhan Shafriman berkata SIC setakat ini belum menerima sebarang pendekatan daripada negara yang terjejas akibat konflik berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata SIC sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan sekiranya terdapat keperluan, dengan mengambil kira tempoh persiapan yang diperlukan untuk menganjurkan perlumbaan.
Malaysia kali terakhir menganjurkan F1 pada 2017.
Selepas sembilan tahun, Sepang kembali menjadi gelanggang F1 menerusi penganjuran GP Gulf Air Bahrain 2026 dari 2 hingga 4 Okt lepas susulan konflik di Asia Barat, hasil persetujuan antara Formula One, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta kerajaan Bahrain dan Malaysia.





























