
Peraduan ‘Beli dan Menang, Mencari OKB’ anjuran BHPetrol melabuhkan tirai dengan menyaksikan empat pelanggan bertuah membawa pulang Proton Saga Executive berserta ganjaran 200,000 ePoints (bernilai RM2,000) setiap seorang.
Peraduan yang menawarkan jumlah ganjaran keseluruhan bernilai RM300,000 itu turut meraikan seramai 23 pemenang lain yang membawa pulang pelbagai hadiah istimewa termasuk motosikal, gajet premium, dan wang tunai.
- Hadiah Utama: Proton Saga Executive + 200,000 ePoints (RM2,000) — 4 Pemenang
- Hadiah Kedua: Motosikal Yamaha Ego Avantiz + 100,000 ePoints (RM1,000) — 4 Pemenang
- Hadiah Ketiga: iPhone 17 Pro + 50,000 ePoints (RM500) — 3 Pemenang
- Hadiah Mingguan: Wang tunai RM2,500 — 16 Pemenang

Antara yang mencuri tumpuan ialah Mohamad Khairul Mokhtar, 23 yang merupakan pemenang paling muda. Menurut Khairul, dia langsung tidak menyangka pengisian minyak di BHPetrol mampu menukarkan statusnya sebagai pemilik kenderaan baharu.
“Sebelum ini saya tidak tahu tentang peraduan BHPetrol. Apabila dihubungi pihak urus setia, awalnya saya menyangka ia adalah panggilan daripada pihak scammer.
“Saya baru mendaftar sebagai ahli eCard pada tahun lalu atas saranan kakitangan stesen minyak. Rupa-rupanya, bila kita berbelanja di stesen minyak tersebut melayakkan kita menyertai peraduan ini secara automatik.
“Ini ibarat rezeki terpijak buat saya yang memang sukakan kereta Proton dan setia dengan model Wira,” katanya kepada Motoqar.

Sementara itu, M. Puvaneswaran, 32, yang datang jauh dari Taiping, Perak menyatakan rasa teruja selepas diumumkan sebagai pemenang Yamaha Ego Avantiz.
Menurutnya, ia merupakan motosikal pertama miliknya walaupun sudah lama memiliki lesen memandu kelas B2.
“Saya terkejut apabila dihubungi dan dimaklumkan berada dalam senarai 27 pemenang akhir. Saya memang tidak meletakkan harapan tinggi dan reda sahaja dengan apa jua hadiah yang bakal diterima.
“Apabila nama diumumkan sebagai pemenang motosikal, saya rasa sangat teruja dan seronok. Bolehlah saya gunakan motosikal ini untuk berulang-alik pergi bekerja selepas ini,” jelasnya.
Strategi Pengukuhan Komuniti BHPetrol
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Fardzi Shah Razali menyatakan penganjuran peraduan berskala besar sedemikian merupakan refleksi komitmen syarikat dalam memberikan nilai tambah dan menghargai kesetiaan pelanggan di seluruh negara.
“Di BHPetrol, kami sentiasa komited untuk menawarkan produk berkualiti, perkhidmatan yang cemerlang serta pengalaman pelanggan yang lebih selesa dan memuaskan.
“Peraduan seperti ini merupakan salah satu cara kami menghargai kesetiaan pelanggan, di samping menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia memilih BHPetrol sebagai stesen pilihan utama dalam kehidupan seharian mereka,” ujar beliau.
Peraduan ‘Beli dan Menang, Mencari OKB’ ini telah berlangsung bermula 1 Februari hingga 31 Mac lalu melibatkan seluruh rangkaian stesen BHPetrol di Semenanjung Malaysia.
Penyertaan adalah terbuka secara automatik kepada semua ahli BHPetrol eCard dengan pembelian minimum RM20 dalam satu transaksi, sama ada melalui pengisian bahan api mahupun pembelian barangan runcit di BHPetromart.

































