Utama Berita Automotif Dongfeng rasmi mula operasi pengedar trak berat untuk pasaran tempatan

Dongfeng rasmi mula operasi pengedar trak berat untuk pasaran tempatan

5

Dongfeng Heavy Industries Sdn Bhd secara rasmi memulakan operasinya di Malaysia sebagai pengedar sah trak berat jenama Dongfeng.

Syarikat tersebut turut memperkenalkan rangkaian komprehensif trak berat yang direka khas untuk pengusaha sektor pengangkutan, pembinaan dan logistik.

Diterajui oleh veteran industri, Quek Wang sebagai Pengarah Eksekutif Dongfeng Heavy Industries, syarikat ini akan beroperasi dari ibu pejabatnya di Jalan Meru, Klang, susulan pelantikannya sebagai pengedar rasmi Dongfeng di Malaysia pada tahun lepas.

Portfolio produk awal telah dipilih secara teliti bagi memenuhi spektrum aplikasi komersial yang luas, merangkumi:

  • prime mover 4×2 dan 6×4
  • tipper 6×4 dan 8×4
  • Trak pembancuh simen 6×4

Menurut Quek Wang, barisan produk itu dipilih secara strategik untuk menyediakan ekosistem kenderaan komersial yang lengkap kepada pengusaha fleet merentasi pelbagai industri.

“Kami memahami cabaran dihadapi syarikat pengangkutan. Disebabkan itu, kami memperkenalkan trak berat generasi terbaharu Dongfeng, yang dibina berasaskan teknologi enjin dan rangkaian kuasa (drivetrain) yang terbukti daripada pengeluar terkemuka,” katanya.

“Kenderaan ini direka untuk saling melengkapi dalam pelbagai industri, dan kami menjangkakan pelanggan akan membuat pesanan fleet campuran berdasarkan keperluan operasi mereka,” tambahnya.

Semua model akan didatangkan dalam bentuk CKD dan dipasang di dalam negara melalui rakan strategik, Gemilang Coachwork Sdn Bhd.

Bagi menunjukkan komitmen jangka panjangnya di Malaysia, Quek Wang menandatangani perjanjian pembelian 200 unit trak dengan Pengurus Besar (Bahagian Perniagaan Luar Negara untuk Kenderaan Komersial Sederhana & Berat) China Dongfeng Motor Industry Import & Export Co Ltd, Chen Jian. 

Majlis turut menyaksikan pemeteraian rasmi perjanjian pemasangan tempatan antara Dongfeng Heavy Industries dan Gemilang Coachwork, di samping beberapa perjanjian pembelian fleet dengan pelanggan.

Mewakili Dongfeng Commercial Vehicles, Wang Long yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah dan Setiausaha Parti China Dongfeng Motor Industry Import & Export Co Ltd, menegaskan semula komitmen pengeluar tersebut terhadap pasaran Malaysia.

“Pencapaian penting ini mencerminkan komitmen berterusan Dongfeng untuk memperkukuh kehadirannya di Malaysia di samping meningkatkan sokongan pelanggan dan perkhidmatan lepas jualan,” kata Wang Long.

Quek Wang menekankan generasi terbaharu trak Dongfeng mematuhi piawaian emisi Euro V serta menggunakan teknologi enjin dan rangkaian kuasa terbukti yang diperoleh daripada pembekal global terkemuka.

“Kami memahami kebimbangan pengusaha pengangkutan. Oleh itu, kami memilih untuk memperkenalkan trak berat yang menggabungkan keandalan, kecekapan, dan pematuhan terhadap piawaian alam sekitar semasa,” jelasnya. 

Beliau turut menegaskan bahawa reputasi Dongfeng dalam aspek ketahanan dibina melalui pembangunan selama berdekad-dekad di sebuah pasaran kenderaan komersial terbesar di dunia.

Sering diiktiraf sebagai antara pengeluar automotif terkemuka di China, pengalaman Dongfeng dalam membekalkan kenderaan untuk kegunaan ketenteraan menyumbang kepada reputasi jenama tersebut dari segi keteguhan dan keandalan.

“Kami tidak mengatakan trak ini tidak akan rosak sama sekali, tetapi berdasarkan kejuruteraan dan pembinaannya, kami yakin ia mampu memberikan tahap masa operasi (uptime) yang tinggi,” tambah beliau.

Pengarah Gemilang Coachwork, Pang Jun Jie menekankan pengalaman syarikat dalam mengendalikan program pemasangan kenderaan yang kompleks.

“Keupayaan kami yang terbukti dalam menukarkan unit CKD kepada kenderaan komersial yang andal dan sedia untuk pasaran menjadikan kami gandingan yang sempurna sebagai rakan strategik untuk aspirasi pertumbuhan Dongfeng di Malaysia,” katanya.

Selain jualan kenderaan, Dongfeng Heavy Industries kini sedang membina rangkaian perkhidmatan dan selepas jualan di seluruh negara untuk menyokong pengusaha fleet.

Quek Wang memaklumkan, semua pusat servis sah akan diwajibkan memenuhi piawaian operasi ketat, termasuk penyediaan perkhidmatan bantuan mobile rescue.

“Kami tahu usaha mengembalikan kenderaan yang rosak ke jalan raya dengan cepat adalah sangat kritikal bagi syarikat pengangkutan. Setiap bengkel yang kami lantik mesti berupaya menyediakan sokongan bantuan kecemasan bergerak bagi meminimumkan masa henti (downtime) untuk pelanggan kami,” katanya.

Melalui portfolio kenderaan komersial yang luas, operasi pemasangan tempatan dan infrastruktur pascajualan yang sedang berkembang, Dongfeng Heavy Industries menyasarkan untuk membina tapak kukuh dalam segmen trak berat Malaysia yang kompetitif.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here