
JETOUR mempamerkan keupayaan teknologi kenderaan pelbagai permukaan menerusi model G700 Ark Edition yang berjaya menjalani ujian navigasi kecemasan di atas air sempena JETOUR Global Technology Experience Day 2026, baru-baru ini.
Ujian dijalankan di pusat ujian navigasi khusus JETOUR G Series itu turut memberi peluang kepada wakil media antarabangsa merasai sendiri keupayaan kenderaan berkenaan bergerak di atas air.
Demonstrasi itu bertujuan menguji keberkesanan teknologi GAIA Ark Tech yang dibangunkan bagi membolehkan kenderaan produksi beroperasi dalam persekitaran mencabar, termasuk merentasi permukaan air.
Berbeza daripada SUV konvensional yang hanya mampu meredah laluan berair pada kedalaman tertentu, G700 Ark Edition direka untuk melakukan pergerakan terkawal di atas permukaan air menerusi sistem pendorongan dan kawalan arah khusus.
Keupayaan itu disokong teknologi GAIA Ark Tech dibangunkan khusus untuk JETOUR G Series bagi menghadapi pelbagai keadaan jalan dan permukaan, termasuk untuk operasi menyelamat, aktiviti off-road serta kawasan sukar dilalui.
Teknologi berkenaan menggabungkan beberapa sistem utama termasuk:
- sistem pengedapan menyeluruh
- sistem kestabilan navigasi pintar
- sistem khusus 800 volt untuk pergerakan di kawasan berair

Sistem itu turut disepadukan dengan CEM-O Amphibious Range-Extender bagi membolehkan pengagihan tenaga disesuaikan mengikut keadaan pemanduan.
Apabila mod navigasi air diaktifkan, sistem rangkaian kuasa akan mengalihkan tenaga kepada sistem khusus tersebut bagi membolehkan kenderaan bergerak ke hadapan serta mengekalkan kawalan arah ketika berada di atas air.
Selain itu, komponen penting turut dilengkapi perlindungan bertaraf IP68 bagi meningkatkan ketahanan terhadap kemasukan air ketika sistem beroperasi.
Gabungan teknologi itu membolehkan G700 Ark Edition melangkaui fungsi meredah air lazim pada kenderaan pacuan empat roda kepada keupayaan bergerak secara terkawal di permukaan air.
Dalam sesi pandu uji, seorang wakil media dari Eropah menyifatkan G700 Ark Edition sebagai kenderaan amfibia produksi sebenar, berbeza daripada kebanyakan kenderaan konsep atau model yang diubah suai untuk tujuan demonstrasi.

Menurutnya, kestabilan ketika bergerak di atas air, kecanggihan sistem operasi serta keupayaan mengekalkan prestasi pemanduan lasak di darat membuktikan tahap pembangunan teknologi JETOUR dalam menghasilkan kenderaan yang mampu beroperasi merentasi pelbagai keadaan permukaan.
G700 Ark Edition menggunakan seni bina pintar GAIA yang sama seperti model G700 standard, sekali gus mengekalkan asas teknologi teras serta piawaian kualiti yang konsisten.
Bagaimanapun, penggunaan GAIA Ark Tech membolehkan varian Ark Edition menawarkan keupayaan tambahan untuk navigasi air dan operasi kecemasan tanpa mengetepikan fungsi pemanduan lasak di darat.
Menurut JETOUR, ujian dalam keadaan sebenar itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat memastikan teknologi yang dibangunkan bukan sekadar di peringkat konsep, sebaliknya diuji menerusi penggunaan praktikal.
Penglibatan wakil media antarabangsa turut memberi peluang kepada pengeluar berkenaan memperlihatkan keberkesanan sistem GAIA Ark Tech secara langsung.
JETOUR G Series akan meneruskan pembangunan teknologi kenderaan pelbagai permukaan bagi memenuhi keperluan perjalanan, aktiviti penerokaan serta kegunaan khusus pada masa hadapan.




