
Pentas Kuala Lumpur International Motor Show 2026 (KLIMS 2026) kembali menjadi platform terbaik buat para pengeluar mengetengahkan teknologi terkini serta memperkenalkan model-model baharu yang bakal meluncur ke pasaran tempatan.
Antara banyak lokasi pameran yang ada, reruai Honda Malaysia adalah destinasi wajib kunjung yang membawakan naratif pameran berbeza. Bukan sekadar mempamerkan barisan model sedia ada dengan skema warna badan putih yang bersih, reruai Honda kali ini dibina sepenuhnya bagi mengangkat konsep bertemakan “Hybrid Done Right”.

Melengkapkan barisan model sedia ada, tumpuan utama di pentas utama pastinya terarah kepada kemunculan sulung Honda Prelude Hybrid Serba Baharu yang tampil memukau dalam tiga pilihan warna badan iaitu hitam, putih dan merah.
Kehadiran Prelude Serba Baharu bukan sekadar gimik untuk mencuri perhatian peminat kelajuan, tetapi ia mewakili kenyataan berani Honda Malaysia tentang kemuncak evolusi 22 tahun teknologi hibrid mereka di tanah air.
Kematangan Teknologi: Bukti Formula “Hybrid Done Right”
Frasa “Done Right” (Dibuat dengan Betul) hanya layak dianugerahkan apabila sesuatu teknologi telah matang selepas melalui ujian masa, penerimaan pasaran, serta corak pemanduan realistik. Perjalanan hibrid Honda selama lebih dua dekad ini merupakan sebuah evolusi berterusan:
• Era IMA: Bermula dengan pengenalan sistem Integrated Motor Assist (IMA) yang merintis segmen kenderaan hijau tempatan.
• Era i-DCD: Beralih kepada sistem Intelligent Dual-Clutch Drive (i-DCD) yang mementingkan karakter pemanduan sporty.
• Era e:HEV: Sehinggalah kepada evolusi sistem hibrid dua motor e:HEV yang menjadi penanda aras industri masa kini, seperti yang dipaparkan pada papan informasi rasmi di reruai mereka.

Di kala pasaran hari ini mula dihujani dengan lambakan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV), pengguna realitinya berhadapan dengan dilema kebimbangan jarak pemanduan serta infrastruktur pengecasan yang belum matang sepenuhnya di Malaysia.
Di sinilah teknologi Honda e:HEV hadir sebagai “jambatan” paling rasional. Fakta ini disokong oleh data kukuh yang mana Honda kekal sebagai Jenama Hibrid No.1 Paling Laris di Malaysia menerusi jualan terkumpul sebanyak 64,350 unit dari tahun 2010 sehingga Februari 2026.

Sistem e:HEV Honda itu sendiri menawarkan tiga kelebihan nyata:
- Penjimatan Luar Biasa: Mampu merekodkan jarak pemanduan antara 800km hingga 1,000km* untuk satu tangki penuh.
- Sifar Kebimbangan: Sistem mengecas sendiri bateri hibrid secara dalaman ketika bergerak tanpa memerlukan sebarang palam pengecasan luaran.
- Ekosistem Dipercayai: Jaminan ketersediaan alat ganti, kos penyelenggaraan kompetitif, serta sokongan komprehensif menerusi rangkaian 90 pusat pengedar sah Honda di seluruh negara.
Eksplorasi Interaktif & Pengalaman Digital di Reruai Pameran
Bagi berkongsi legasi kejuruteraan tersebut, reruai Honda menyediakan pelbagai aktiviti eksplorasi digital yang interaktif untuk para pengunjung:

- Kiosk Skrin Sentuh Pintar: Pengunjung boleh memilih tema kenderaan kegemaran berdasarkan personaliti masing-masing menerusi pilihan FUN (City Hatchback e:HEV), SPORTY (Civic e:HEV atau Prelude), COOL (City e:HEV RS), dan PREMIUM (HR-V e:HEV atau CR-V e:HEV).

- Bangku Interaktif Berteknologi: Disediakan lengkap dengan kemudahan pengecas telefon pintar tanpa wayar. Sambil berehat meredakan kaki yang lenguh, pengunjung dapat memahami cara sistem hibrid berfungsi secara visual masa-nyata, melihat bagaimana aliran kuasa beralih lancar antara mod EV Drive, Hybrid Drive, dan Engine Drive mengikut corak pemanduan.

- Lorong Interaktif Mesra Keluarga: Menyediakan ruang permainan simulasi perlumbaan digital berskala besar yang sangat menyeronokkan untuk seisi keluarga.

- Zon Gashapon & Penukaran Hadiah: Sebelum pulang, pengunjung yang berjaya menjawab empat soalan kuiz ringkas berkaitan teknologi hibrid Honda boleh mencuba nasib di mesin cakar gashapon untuk membawa pulang cenderahati eksklusif Honda.
Tawaran Bonanza: Masa Terbaik Untuk Bertukar
Jika 22 tahun dahulu hibrid dipandang sebagai sebuah eksperimen sains yang berisiko, hari ini Honda membuktikan ia adalah solusi pemanduan paling matang dan praktikal untuk landskap jalan raya Malaysia.
Sempena sambutan legasi ini di KLIMS 2026, Honda Malaysia turut melancarkan kempen “Nationwide KLIMS Double Bonanza Rewards”. Misalnya, jika anda memilih model sedan segmen-C kegemaran ramai seperti Honda Civic, ia kini ditawarkan dengan rebat semasa bernilai sehingga RM12,000*!.
Apa yang lebih menarik, pembelian yang dibuat sepanjang tempoh kempen ini melayakkan anda untuk menikmati ganjaran berganda ekstra (Double Bonanza) yang disediakan khas buat para pembeli di reruai pameran mahupun di bilik pameran seluruh negara.
Kunjungi booth Honda Malaysia di KLIMS 2026 untuk menyaksikan sendiri kelibat eksklusif Honda Prelude Serba Baharu, dan fahami mengapa bagi Honda, teknologi elektrifikasi hibrid mereka adalah sebuah janji yang ditepati—Hybrid Done Right.
GALERI GAMBAR






