Utama Berita Automotif BYD, Gentari teroka pembangunan infrastruktur ‘Flash Charging’ di Malaysia

BYD, Gentari teroka pembangunan infrastruktur ‘Flash Charging’ di Malaysia

4

BYD Malaysia dan Gentari, syarikat penyelesaian tenaga bersih milik penuh PETRONAS, akan meneroka peluang membangunkan infrastruktur BYD Flash Charging di Malaysia susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di ibu pejabat global BYD di Shenzhen, baru-baru ini.

Inisiatif itu mencerminkan komitmen BYD memperkukuh rangkaian pengecasan kenderaan elektrik (EV) berkuasa tinggi di negara ini, selain menyokong usaha kerajaan memperluas kemudahan pengecasan EV di seluruh negara.

BYD Flash Charging direka untuk memberikan prestasi pengecasan terpantas kepada kenderaan yang dilengkapi Bateri Blade Generasi Kedua BYD, termasuk DENZA Z9GT yang baharu dilancarkan.

Model berkenaan antara kenderaan pertama di Malaysia yang menyokong teknologi itu dengan bateri berkapasiti 122.49 kilowatt-jam (kWj) dan seni bina voltan tinggi 1,000 volt (V), yang mampu mengecas daripada 10 peratus kepada 70 peratus dalam tempoh lima minit, manakala 10 peratus kepada 97 peratus hanya dalam sembilan minit.

Keupayaan itu menjadikan pengalaman mengecas EV lebih hampir kepada tempoh mengisi minyak kenderaan konvensional.

Model BYD sedia ada juga boleh menggunakan infrastruktur pengecasan baharu itu, bagaimanapun kelajuan pengecasan maksimum bergantung kepada keupayaan pengecasan setiap kenderaan.

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, BYD komited membawa teknologi pengecasan generasi baharu ke Malaysia dan sedang berusaha memperkenalkan BYD Flash Charging kepada pelanggan dalam masa terdekat.

“Ia merupakan langkah utama dalam memperkukuh infrastruktur pengecasan EV negara serta menjadikan penggunaan EV lebih mudah dan praktikal untuk pelanggan kami.

“Seiring peningkatan penggunaan EV, kemudahan pengecasan juga perlu berkembang mengikut keperluan.

“Melalui kerjasama dengan rakan tempatan, kami berhasrat memperluas akses kepada pengecasan berkuasa tinggi, di samping membangunkan keupayaan tempatan termasuk latihan dan peningkatan kemahiran juruteknik bagi menyokong pertumbuhan ekosistem EV Malaysia,” katanya.

Pelaksanaan awal akan memberi tumpuan kepada beberapa bilik pameran mewah DENZA terpilih bagi menyediakan akses awal kepada BYD Flash Charging untuk pemilik kenderaan yang serasi.

BYD Malaysia seterusnya akan bekerjasama dengan Gentari untuk meneroka lokasi sesuai serta keperluan infrastruktur sokongan, termasuk stesen PETRONAS dan laluan utama antara bandar yang menghubungkan pusat penduduk utama.

Apabila rangkaian itu berkembang, kedua-dua pihak turut akan meneroka peluang menyediakan BYD Flash Charging di kawasan Rehat dan Rawat terpilih di lebuh raya, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan kepada pemilik EV ketika merancang perjalanan jarak jauh.

Dalam perkembangan sama, DENZA Malaysia turut memperkenalkan warna luaran baharu Fjord Green untuk DENZA Z9GT, melengkapkan pilihan sedia ada iaitu Rime Gold dan Obsidian Black.

Sejak pelancarannya, lebih 100 unit DENZA Z9GT diserahkan kepada pelanggan di Malaysia.

Model grand tourer mewah itu ditawarkan pada harga RM358,800 dan dibina berasaskan Platform e3 dengan kuasa 850 kW (1,156 PS) serta pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 2.7 saat, selain dilengkapi fungsi Compass Turn dan Crab Walk.

DENZA Z9GT boleh didapati di bilik pameran DENZA di Balakong, Glenmarie, KLCC, KL North, Old Klang Road, Melaka, Pulau Pinang dan Skudai.

GALERI :

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here