Utama Berita Automotif BYD lantik Inokom pasang kenderaan EV secara CKD

BYD lantik Inokom pasang kenderaan EV secara CKD

7

BYD Malaysia melantik Inokom Corporation Sdn Bhd, anak syarikat Sime Motors yang berpangkalan di Kulim, Kedah, sebagai rakan pemasangan tempatan bagi merealisasikan perancangan pemasangan kenderaan elektrik (EV) menggunakan kaedah completely knocked-down (CKD) di Malaysia.

Pelantikan itu diumumkan hari ini susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di ibu pejabat global BYD di Shenzhen, China.

BYD Malaysia berkata, pemilihan Inokom dibuat selepas mengambil kira penilaian terhadap pasaran tempatan serta keupayaan pengeluaran syarikat berkenaan, termasuk pengalaman pemasangan kenderaan, tenaga kerja mahir dan prasarana sedia ada.

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, pemasangan tempatan mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat terhadap Malaysia, selain membolehkan kepakaran dalam teknologi kenderaan tenaga baharu dan bateri dibawa lebih dekat kepada pengguna.

“Pemasangan tempatan merupakan sebahagian penting daripada komitmen jangka panjang BYD terhadap Malaysia.

“Kerjasama dengan Sime untuk menjalankan pemasangan di Inokom membolehkan kami memanfaatkan keupayaan pembuatan automotif sedia ada dalam meneruskan perancangan pemasangan tempatan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu turut menjadi sebahagian daripada perkembangan BYD di Malaysia bersama BYD Sime Motors, selain membuka ruang untuk memperkukuh kehadiran tempatan dan meneroka peluang meningkatkan pelaburan menerusi kerjasama dengan rakan industri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, keputusan BYD memilih Sime membuktikan kekuatan industri pembuatan automotif Malaysia serta kepakaran yang dibangunkan syarikat itu selama ini.

“Pengalaman kami dalam pemasangan kenderaan, disokong oleh tenaga kerja berpengalaman dan rangkaian pembekal tempatan yang mantap, menyediakan asas yang kukuh bagi kerjasama ini,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu berpotensi memperkukuh ekosistem automotif negara, menyokong perniagaan tempatan dan membangunkan kepakaran yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang industri berkenaan.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Naib Presiden BYD merangkap Pengurus Besar Bahagian Jualan Automotif BYD Asia Pasifik, Liu Xueliang, dan Jeffri, dengan disaksikan wakil kedua-dua pihak – termasuk Ma – serta Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors, Jeffrey Gan.

BYD Malaysia berkata, kerjasama itu akan memanfaatkan keupayaan pembuatan sedia ada di Malaysia bagi menyokong perancangan pemasangan kenderaan tempatan, manakala maklumat lanjut mengenai program berkenaan akan diumumkan kemudian.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here