
Renault memperkenalkan E-Space Concept di Paris Motor Show 2026 sebagai gambaran masa depan MPV elektrik yang mengutamakan ruang, keselesaan dan keperluan penumpang.
Konsep ini mengambil inspirasi daripada Renault Espace generasi pertama yang diperkenalkan pada 1984.
Ia membawa pendekatan moden terhadap falsafah voitures à vivre, iaitu kenderaan yang direka untuk kehidupan seharian.
Model konsep ini merupakan alternatif kepada SUV dan sedan. E-Space Concept menampilkan badan MPV dengan garisan ringkas dan susun atur terbuka.
Penggunaan kaca yang luas pula membolehkan cahaya semula jadi memasuki ruang dalaman.
Satu yang menarik, Renault Espace generasi ketiga pernah menjadi asas kepada Enviro 2000, iaitu teksi NGV yang digunakan di Malaysia.
Reka Bentuk MPV Dengan Dimensi Besar
Renault E-Space Concept mempunyai panjang 4,700 mm, lebar 2,020 mm dan tinggi 1,670 mm, selain menggunakan rim bersaiz 23 inci.
Perkadaran badan mengingatkan kepada Espace generasi pertama, tetapi dengan pendekatan reka bentuk moden.
Roda diletakkan berhampiran keempat-empat penjuru badan, manakala cermin depan bersambung secara visual dengan bonet.
Di bahagian depan dan belakang, konsep ini menggunakan jalur lampu berbentuk U yang mengelilingi bahagian gril.
Logo Renault di tengah bahagian hadapan turut diterangi dan direka supaya kelihatan seolah-olah terapung.
Pembahagi udara pada bampar depan boleh diturunkan lebih dekat ke permukaan jalan bagi mengoptimumkan aerodinamik pada kelajuan tinggi.
Bahagian bawah badan menggunakan kemasan hitam yang menggambarkan kedudukan bateri dan pelbagai ciri aerodinamik, seperti sidepod pada kereta F1.
Kemasan gelap juga mengingatkan kepada pelindung sisi berwarna kelabu yang lebar pada Renault Espace generasi pertama.
Reka bentuk ini membantu mengurangkan kesan visual badan yang besar apabila dilihat dari sisi.
Kabin Kaca Dengan Enam Kerusi Individu
Kabin E-Space Concept direka dengan bumbung kaca dan tingkap sisi yang luas.
Reka bentuk ini membolehkan cahaya semula jadi memasuki ruang dalaman dan memberikan pandangan lebih terbuka kepada penumpang.
Pintu belakang berengsel di bahagian belakang dan boleh dibuka tanpa tiang tengah, sekali gus memberikan bukaan luas ke ruang kabin.
Bahagian dalam menempatkan enam kerusi individu dengan lantai rata penuh.
Kerusi baris kedua boleh dipusingkan sehingga 180 darjah untuk membolehkan penumpang duduk berhadapan dengan penumpang baris ketiga.
Dalam konfigurasi menghadap ke depan, penumpang baris kedua boleh menggunakan meja lipat.
Skrin berukuran 12.3 inci turut dipasang pada bahagian belakang kerusi baris pertama.
Kedua-dua kerusi baris kedua juga boleh dilipat sepenuhnya untuk membentuk meja besar bagi penumpang baris ketiga.
Sebuah konsol kawalan boleh digerakkan sepanjang bahagian tengah kabin.
Konsol ini dilengkapi pembersih udara, peti sejuk kecil, pengawal permainan video dan permainan papan Connect 4.
Pencahayaan suasana turut digunakan di sepanjang bahagian bawah kabin. Lampu membaca pula dipasang pada rel membujur di tengah bumbung kaca.
Skrin OpenR Panorama dan Stereng Steer-by-Wire
Renault E-Space Concept menggunakan skrin melengkung OpenR Panorama yang merentangi keseluruhan bahagian hadapan kabin.
Skrin ini berukuran 1,130 x 110 mm dan menggantikan papan pemuka konvensional.
Ia tidak menggunakan kawalan sentuh, sebaliknya fungsi skrin dikendalikan melalui dua skrin fleksibel yang boleh dipusingkan pada tapak berbentuk tiub tempat stereng dipasang.
Susun atur ini membolehkan jumlah maklumat yang dipaparkan diubah mengikut keperluan pemandu, selain menyediakan lebih banyak ruang di hadapan penumpang.
Renault turut menggunakan teknologi stereng steer-by-wire, iaitu sistem stereng tanpa sambungan mekanikal konvensional.
Teknologi ini membolehkan pemandu mengawal sudut stereng tanpa menggunakan sambungan mekanikal seperti sistem stereng biasa.
Menurut Renault, teknologi tersebut memberikan lebih kebebasan dalam mereka bentuk stereng dan susun atur kawalan pemandu.
Skrin OpenR Panorama juga dirancang untuk digunakan pada model eksekutif Renault akan datang, bermula dengan Rafale dan Scenic generasi seterusnya.
Warna dan Bahan Berasaskan Bio
Ruang kabin E-Space Concept menggunakan warna merah dalam beberapa tona, termasuk merah terang, ungu dan garnet.
Karpet setebal 3 cm pula mempunyai warna koral di bahagian tengah yang semakin gelap ke arah luar.
Renault turut meneroka penggunaan bahan berasaskan bio dan bahan semula jadi pada beberapa komponen kabin.
Kemasan dalaman menggunakan jerami yang diwarnakan, manakala lantai dilapisi karpet berbulu panjang yang diperbuat daripada 100 peratus bulu biri-biri.
Cat dalaman mengandungi 18 peratus resin berasaskan bio. Bahan kemasan stereng pula mengandungi 26 peratus minyak jarak (castor oil) dan 25 peratus kapas organik.
Tayar Michelin yang digunakan turut mengandungi purata 19 peratus getah asli daripada ladang getah terurus.
Renault menyatakan komitmen untuk menggunakan 30 peratus bahan kitar semula merentasi rangkaian modelnya.
Konsep Elektrik Yang Mengutamakan Penumpang
Renault E-Space Concept menggabungkan reka bentuk MPV, ruang dalaman modular dan teknologi elektrik dalam satu konsep yang berpusat pada keperluan penumpang.
Walaupun maklumat kapasiti bateri, jarak pemanduan dan output kuasa tidak dinyatakan, konsep ini menunjukkan hala tuju Renault dalam menghasilkan kenderaan keluarga elektrik.
Penekanannya adalah pada ruang, cahaya semula jadi dan susun atur kabin yang fleksibel.













