
MINI Malaysia memperkenalkan MINI Aceman serba elektrik, model crossover kompak lima pintu antara MINI Cooper dan MINI Countryman.
Direka untuk pemanduan bandar moden, MINI Aceman menggabungkan karakter ikonik MINI dengan kepraktisan sebuah crossover, menjadikannya pilihan menarik bagi mereka yang mahukan kenderaan elektrik (EV) kompak tetapi versatil.
MINI Aceman menampilkan reka bentuk Charismatic Simplicity dengan gril hadapan berbentuk oktagon, lampu LED ekspresif serta rim 19 inci yang menyerlahkan identiti sebagai crossover moden.
![]()
Ruang dalaman menggunakan bahan lestari seperti tekstil kitar semula dan kemasan kulit vegan, selain dilengkapi paparan OLED bulat bersaiz 9.4 inci yang menjadi pusat kawalan utama kenderaan.
MINI turut memuatkan sistem operasi MINI Operating System 9 dalam model ini bagi pengalaman digital lebih intuitif.
Pemilik boleh mengakses pelbagai fungsi kenderaan melalui aplikasi MINI termasuk memantau status bateri, mengurus pengecasan, membuka atau mengunci kenderaan dari jauh serta menetapkan suhu kabin sebelum memulakan perjalanan.
MINI Aceman dikuasakan motor elektrik yang menghasilkan 218 hp dan 330 Nm tork.
Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.1 saat.
![]()
Kenderaan ini menggunakan bateri berkapasiti 54.2kWh dengan jarak pemanduan sehingga 406 kilometer mengikut standard WLTP.
Ia sekali gus sesuai bagi kegunaan harian atau perjalanan santai hujung minggu.
Untuk pengecasan, MINI Aceman menyokong pengecasan pantas DC sehingga 95kW membolehkan bateri dicas daripada 10 peratus ke 80 peratus dalam tempoh 31 minit.
Ia juga menyokong pengecasan AC sehingga 11kW untuk kegunaan di rumah atau stesen pengecas awam.
MINI Aceman dilengkapi pelbagai sistem bantuan pemandu termasuk kawalan pemanduan adaptif, bantuan kekal lorong, amaran titik buta, amaran trafik lintasan belakang serta sistem parkir automatik dengan paparan 360 darjah.
![]()
Bagi pengalaman pemilikan, MINI Malaysia menawarkan perlindungan melalui program Relax. We Care merangkumi bantuan tepi jalan 24 jam, servis dan pembaikan inklusif serta sokongan digital melalui MINI ConnectedDrive.
MINI Aceman ditawarkan pada harga RM213,888 atas jalan (tanpa insurans) dengan tambahan pakej waranti dan servis lanjutan MINI, harganya ditetapkan RM221,288.
Menerusi pembiayaan Easy Drive oleh BMW Group Financial Services Malaysia, MINI Aceman boleh dimiliki dengan ansuran bulanan bermula RM1,680.































