#MAS2025: MINI JCW petrol dan EV buat penampilan – dari RM219k

36

MINI Malaysia memperkenalkan hatchback prestasi tinggi John Cooper Works (JCW) dengan pilihan petrol dan elektrik (EV).

Bertempat di acara Malaysia Autoshow 2025, penawaran ini memberikan anda pilihan sama ada mahu hot hatch ikonik Mini Cooper JCW dengan pacuan enjin pembakaran atau elektrik sepenuhnya.

MINI John Cooper Works – RM318,888

Kita mulakan dengan versi enjin tradisional. MINI JCW 2025 ini menampilkan gril high gloss Black dengan corong kemasukan udara. Ini disulam dengan kemasan-kemasan merah pada bumbung, perumah cermin sisi, strip bonet, dan angkup brek.

Penggayaan sporti diteruskan dengan komponen aerodinamik seperti skirt sisi dan rim JCW Lap Spoke bersaiz 18-inci berserta tayar sport.

MINI JCW ini dipacu enjin 2.0-liter 4-silinder petrol yang menghamburkan 231hp dan 380Nm. Ini mampu melonjakkan hot hatch ini dari kedudukan pegun ke 100km/j dalam hanya 6.1 saat, hingga ke kelajuan maksima 250km/j.

Masuk ke dalam, MINI JCW menyambut anda dengan pelbagai lagi ciri sporti seperti roda stereng dengan jahitan merah, paddle-shifters, dan MINI Interaction Unit yang boleh memaparkan data seperti kelajuan, tork, penghantaran kuasa, dan g-force.

JCW ini juga mendapat teknologi lain yang merangkumi MINI Navigation AR, tempat pengecas tanpa-wayar, sistem audio Harman Kardon, suspensi adaptif, MINI Digital Key Plus, Remote Engine Start.

MINI JCW hadir dengan tiga warna iaitu Legend Grey, Nanuq White, dan Midnight Black.

MINI JCW Electric – RM218,888

Untuk anda yang mahukan janaan kuasa baharu, boleh lihat kepada MINI JCW Electric ini, yang diperkenalkan buat kali pertama.

Dari jauh sekilas pandang, jentera ini tampak seperti MINI Cooper yang ikonik. Tetapi jika diamati lebih dekat, anda akan nampak rupa depan yang lebih segar menunjukkan ia model MINI generasi baharu. Lampu belakang pula ciri paling ketara untuk anda kenali model elektrik ini.

Sebagai model JCW, hot hatch EV ini tetap diberikan rupa sporti seperti kemasan Chili Red pada bumbung, perumah cermin sisi, strip bonet, dan angkup brek. Pakej aerodinamik pula merangkumi gerbang roda, skirt sisi, dan spoiler bumbung.

MINI JCW EV serba baharu ini dikuasakan oleh motor elektrik dengan outout 258hp dan 350Nm, menghantar kuasa ke roda depan.

Pecutan ke 100km/j adalah lebih pantas berbanding model petrol, iaitu 5.9 saat tetapi kelajuan maksima lebih rendah iaitu 200km/j.

Dilengkapi bateri 54.2kWh, model ini mempunyai jarak pemanduan sehingga 371km. Untuk pengecasan pula, MINI JCW memerlukan hanya 30 minit untuk mengecas dari 10 hingga 80 peratus menggunakan pengecas DC. Jika menggunakan AC, masa diperlukan ialah 5 jam 15 minit dari 0 hingga 100 peratus.

Sama seperti model petrol, MINI JCW EV boleh dipilih dengan tiga warna iaitu Legend Grey, Nanuq White, dan Midnight Black.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here