
Mini Coopers tidak pernah memenangi takhta sebagai kereta terpantas, paling anggun, atau paling jimat minyak.
Namun, ia menawarkan sesuatu yang jauh lebih berharga dan sukar ditandingi menerusi pengendalian yang tajam, casis yang menyeronokkan dan hubungan secara langsung di belakang stereng.
Selama bertahun-tahun, pengalaman memandu yang mengujakan ini dilengkapi dengan pilihan kotak gear manual yang menjadi tunjang kepada pemanduan bersemangat.
Sayangnya, ia bakal berakhir….
TAMATNYA ERA MANUAL MINI COOPER
Walaupun sempat mencetuskan gelombang permintaan singkat ketika kembali ke pasaran, Mini mengesahkan bahawa model keluarannya akan terus menggunakan transmisi automatik untuk masa hadapan.
Berita ini sebenarnya bukan satu kejutan. Seawal pertengahan 2023, Mini sudah memberi bayangan akan meninggalkan transmisi manual.
Walaupun begitu, ia bertahan sedikit lebih lama, malah sempat muncul dalam versi Mini Cooper JCW convertible. Namun, itulah kemunculan terakhirnya.
Sejak itu, transmisi manual tidak lagi kelihatan, dan laporan terbaru mengesahkan bahawa ia tidak akan kembali dalam masa terdekat.
PERMINTAAN RENDAH & REGULASI EMISI
Menurut Drive.com.au, Ketua Produk Mini Australia dan New Zealand, James Orlov, mengesahkannya sekali lagi untuk generasi sebelumnya, (manual) isu abah-abah pendawaian dari Ukraine memaksa mereka mengutamakan model yang lebih banyak terjual iaitu automatik.
“Bagi generasi baharu, ia tidak diutamakan sama sekali. Dan apabila kita bergerak ke arah regulasi emisi EU7 di Eropah, itu mungkin akan ada perkembangan lanjut.
“Bayangkanlah, cuma tiga orang je daripada 100 pembeli yang pilih manual. Dengan jualan serendah itu, tidak berbaloi untuk lalui segala ujian dan pensijilan yang mahal-semata ingin jual kereta manual,” kongsinya.
Adakah kemungkinan Mini sedang secara rahsia membangunkan semula transmisi manual?. Alex Brockhoff, Pengurus Besar Mini Australia dan New Zealand, menepis spekulasi tersebut.
“Tiada rancangan untuk transmisi manual. Permintaan pelanggan terhadap manual sangat rendah. Dan keperluan emisi, semua ujian yang terlibat, serta kos pembangunan di sekelilingnya menjauhkan kita daripada transmisi manual,” tegasnya.
Tambahan, ujar Brockhoff tidak banyak pesaing yang menawarkan versi manual.
“Nak buat apa kalau pesaing pun tak ada? Memang jelaslah, manual ni makin pupus di seluruh dunia, bukan di Australia atau Amerika je. Memanglah ada beberapa supercar mewah yang harga enam angka tu masih ada pedal klac, tapi kereta prestasi yang mampu milik dengan manual ni memang cepat sangat jadi sejarah,” katanya.