Hyundai perkenal transmisi manual tanpa klac, kini orang malas pun boleh pandu manual!

779

Antara sebab berkurangnya permintaan transmisi manual dalam pasaran selain dari faktor tidak mahir menggunakannya ialah kerana faktor ‘malas’ menekan klac. Ini terutamanya semasa kesesakan jalan raya dalam pemanduan harian atau semasa balik kampung di musim perayaan.

Namun Hyundai Motor India telah menyediakan penyelesaian untuk masalah ini dengan membuang terus pedal klac. Ya, ia masih transmisi manual dengan tombol gear biasa, cuma kini hanya dengan dua pedal.

Sistem transmisi ini akan diperkenalkan pada Hyundai Venue di pasaran itu dengan pilihan transmisi intelligent Manual Transmission (iMT).

Untuk menukar gear, hanya tolak atau tarik tombol ke gear yang anda mahukan seperti biasa, dan itu sahaja. Selebihnya, sistem menggunakan pengesan untuk mengetahui “niat” anda untuk masuk gear.

Pengesan itu menghantar isyarat ke unit kawalan transmisi yang menggunakan aktuator hidraulik untuk operasi klac.

Sistem iMT 6-kelajuan akan ditawarkan pada enjin Hyundai 1.0-liter 3-silinder turbo yang terdapat di India. Model lain yang bakal menerima sistem ini ialah Kia Sonet.

Ini sebenarnya bukanlah sistem transmisi manual dua-pedal pertama. Porsche pernah menggunakan idea ini pada 1960-an yang dipanggil Sportomatic. Klacnya menggunakan aktuator vakum, dan torque-converter dipasang pada flywheel enjin untuk mengelakkan ianya mati.

Malah, Proton juga pernah menggunakan transmisi lebih kurang sama pada Savvy AMT, anda masih ingat? Transmisi itu sudah pastinya dikongsi dengan model Renault Clio, yang juga dikenali sebagai nama Renault Quickshift 5.

Menurut Hyundai dalam satu kenyataan, mereka mendakwa iMT akan mengekalkan keseronokan pemanduan manual tanpa perlu banyak menekan klac dalam trafik.

Ya, kami setuju menggunakan pedal klac boleh memenatkan, tetapi ianya satu pilihan untuk pemandu tegar. Jika kita tidak menekan klac, adakah kita benar-benar memandu kereta dengan transmisi manual?

Bukan setakat penggunaan klac, malah melakukan rev-matching atau ­heel-and-toe dengan sempurna juga memberikan kepuasan tersendiri.

Apa pendapat anda mengenai perkembangan ini?

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here