
Hyundai Motor Company mendedahkan reka bentuk Tucson 2027, model generasi kelima yang diperkenalkan kira-kira enam tahun selepas Tucson generasi keempat pada September 2020.
Model baharu ini menampilkan reka bentuk SUV yang lebih berani dan tegap, selain menawarkan ruang kabin yang lebih luas.
Rekaan luaran berasaskan Art of Steel
Tucson 2027 menggunakan falsafah reka bentuk Art of Steel, yang menterjemahkan ketegangan dan kekuatan keluli dalam bentuk moden.
Bahagian hadapan menerima lampu DRL H-Edge bentuk menegak yang diinspirasikan daripada pencahayaan seni bina, bersama lampu tengah nipis mendatar.
Lampu tengah menggunakan struktur pencahayaan tidak langsung supaya sumber cahaya tidak kelihatan dari luar.
Cahaya yang terhasil menonjolkan struktur dan permukaan tiga dimensi pada bahagian hadapan.
Di sisi, fender dan pintu belakang diberikan bentuk tiga dimensi yang lebih menonjol.
Garisan karakter yang jelas merentasi badan pula dipadankan dengan permukaan pintu yang lebih kemas.
Bahagian belakang menampilkan lampu belakang prisma dengan struktur kanta tiga dimensi.
Apabila dinyalakan, corak terperinci di dalam lampu menghasilkan kesan visual yang lebih mendalam.
Rekaan lampu belakang turut diselaraskan dengan bahagian hadapan melalui lampu tengah nipis mendatar dan lampu kombinasi belakang menegak.
Bampar belakang yang lebih tebal serta skid plate menambah imej tegap SUV ini.
Dimensi lebih besar, ruang kabin bertambah
Dari segi dimensi, Hyundai Tucson 2027 direka dengan panjang 4,700mm, lebar 1,905mm, dan tinggi 1,685mm, bersama jarak roda 2,785mm.
Berbanding model terdahulu, panjang keseluruhan bertambah 60 mm, jarak roda meningkat 30 mm, manakala lebar bertambah 40 mm.
Ruang kepala penumpang baris kedua turut meningkat 29 mm kepada 1,031 mm.
Sudut bukaan pintu baris kedua pula diperluaskan daripada 73° kepada 83°, bagi memudahkan proses keluar dan masuk.
Rekaan papan pemuka menggunakan struktur terapung dengan garisan mendatar yang menghubungkan liang udara kiri dan kanan.
Paparan tengah bersaiz besar diletakkan di bahagian tengah untuk memudahkan maklumat dilihat dan dikendalikan.
Hyundai turut menggunakan paparan nipis dan stereng D-cut berkembar bagi mengurangkan gangguan terhadap pandangan pemandu.
Antara ciri praktikal lain ialah:
- Perehat tangan dengan ruang simpan tersorok.
- Luggage add-gear untuk meningkatkan penggunaan ruang.
- Pemegang kad di sebelah liang udara kiri pemandu.
- Sistem pengecasan tanpa wayar berkembar yang membolehkan dua telefon pintar dicas serentak.
Lima warna baharu untuk pilihan luaran
Hyundai menawarkan sejumlah lapan warna luaran, termasuk lima warna baharu:
- Serenity White Pearl
- Driftwood Gray Matte
- Driftwood Gray Metallic
- Redrock Orange Matte
- Goyo Copper Pearl
Untuk ruang dalaman, warna Black Monotone dikekalkan bersama tiga pilihan baharu:
- Mud Gray/Dove Gray dua tona
- Black/Sand Beige dua tona
- Black/Inlay Soil Brown Package
Keseluruhannya, terdapat empat pilihan warna dalaman.
Tucson XRT tampil dengan imej lebih lasak
Tucson 2027 turut ditawarkan dalam XRT, iaitu varian dengan reka bentuk khusus untuk pelanggan yang menggemari gaya hidup luar.
XRT menerima gril hadapan berbentuk segi empat tepat yang lebih lebar serta skid plate yang besar bagi menghasilkan penampilan lebih menyerlah dan tegap.
Bahagian sisi dilengkapi kemasan arka roda yang menutupi bahagian bawah badan. Kemasan tersebut menggunakan corak diinspirasikan daripada karbon tempa.
Selain itu, XRT dilengkapi:
- Bampar belakang dan skid plate khusus.
- Lencana XRT.
- DLO berwarna hitam.
- Rim khusus.
- Kerusi dengan corak khusus XRT.
- Kemasan dark metal pada ruang kabin.
- Alas perlindungan lantai untuk baris pertama dan kedua.
- Lampu LED pada pintu belakang jenis sentuh.










