Utama Berita Automotif MODA lancar Sporter S SKII – skuter canggih dengan skrin TFT 7...

MODA lancar Sporter S SKII – skuter canggih dengan skrin TFT 7 inci, kamera HD

4

MDua Motor Sdn Bhd pengedar rasmi motosikal jenama MODA, hari ini memperkenalkan Sporter S SKII — model terbaharu dalam keluarga Super Scooter Sporter S yang mula diperkenalkan pada Januari 2025.

Model baharu ini dibangunkan hasil maklum balas terus daripada pemilik, pengguna dan komuniti penunggang tempatan.

Ia didatangkan susulan sambutan memberangsangkan terhadap Sporter S yang kini menjadi antara skuter terlaris dalam rangkaian MODA.

Sporter S SKII tampil dengan beberapa penambahbaikan utama yang menjadikan ia lebih premium dan mesra penunggang antaranya :

  • Skrin Sentuh TFT 7 Inci – Lebih besar dan jelas untuk paparan maklumat tunggangan serta navigasi
  • Suis Pelbagai Fungsi Baharu – Diletakkan pada pemegang bagi memudahkan kawalan fungsi utama tanpa melepaskan tangan dari pemegang
  • Kamera Pemuka HD – Dipasang di bahagian hadapan untuk merakam perjalanan dan meningkatkan keselamatan
  • Pengadang Angin Elektronik – Boleh dilaras secara elektronik mengikut keadaan dan keperluan tunggangan

Dari segi keselamatan dan gaya, Sporter S SKII menerima sentuhan baharu yang lebih agresif.

Antaranya lampu isyarat berintensiti tinggi dan lampu nyalaan siang DRL dengan kedudukan baharu bagi meningkatkan keterlihatan kepada pengguna jalan raya lain.

Bahagian hadapan turut tampil lebih sporty dengan winglet aerodinamik baharu dan cermin sisi aloi rekaan terkini yang menaikkan seri keseluruhan skuter.

Untuk keselesaan, sistem suspensi belakang turut dinaik taraf dengan tetapan baharu bagi memberikan kestabilan lebih baik, terutama ketika melalui pelbagai permukaan jalan di Malaysia.

Sporter S SKII ditawarkan dalam dua warna baharu eksklusif :

  • Putih Porsch (Porsch White)
  • Biru Titan (Titan Blue)

Kedua-dua warna dipadankan dengan grafik baharu dan ditawarkan pada harga RM17,998 atas jalan tanpa insurans.

Acara pelancaran turut dihadiri barisan kenamaan industri antaranya Pengerusi Eksekutif Kumpulan AFY Mobility Industries, Datuk Ahmad Faez Yahaya; Pengerusi Persatuan Pengedar Skuter dan Motosikal Malaysia, Datuk Wee Hong; Pengarah Urusan Kumpulan KMSB Motors Sdn Bhd, Datuk Jeffrey Lim dan Pengurus Kanan Jenama, MDua Motor Sdn Bhd, Michael Yeoh.

Dengan pakej teknologi dan reka bentuk yang dikemaskini, MODA Sporter S SKII disasarkan untuk terus mengukuhkan kedudukan MODA dalam segmen super skuter premium di Malaysia.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here