
PROTON New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), syarikat di sebalik jenama Proton e.MAS memeterai kerjasama strategik bersama tiga pengendali titik pengecasan kenderaan elektrik (CPO) utama iaitu DC Handal, JomCharge dan chargEV bagi memperkenalkan stesen pengecasan berjenama e.MAS di seluruh negara.
Inisiatif ini bertujuan memperluas ekosistem pengecasan Proton e.MAS serta meningkatkan pengalaman pengecasan bagi pemilik kenderaan elektrik jenama tersebut.
Pelaksanaan stesen pengecasan berjenama e.MAS dijadualkan bermula pada Suku Ketiga 2026.
Fasa pertama akan tertumpu kepada lokasi awam strategik dan berkepadatan tinggi sebelum diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.
Melalui kerjasama ini, PRO-NET bersama tiga CPO berkenaan akan bekerjasama dalam inisiatif penjenamaan bersama dan pemasaran di kemudahan pengecasan yang terlibat.
Selain itu, PRO-NET turut akan menyokong usaha peluasan infrastruktur pengecasan oleh rakan kongsi.
Sebagai nilai tambah kepada pemilik e.MAS, kadar pengecasan istimewa akan ditawarkan kepada pengguna yang membuat bayaran melalui aplikasi Proton e.MAS di stesen berkaitan.
Sebagai jenama EV No. 1 di Malaysia, Proton e.MAS kini menyediakan akses kepada lebih 4,700 titik pengecasan yang merangkumi lebih 90 peratus kawasan di Malaysia melalui aplikasi Proton e.MAS.
Aplikasi tersebut turut dilengkapi Peta Pengecasan Langsung yang boleh diakses terus dari dalam kenderaan e.MAS.
Kerjasama dengan tiga CPO utama ini adalah langkah seterusnya dalam memperluas ekosistem e.MAS dan membawa pengalaman pengecasan jenama itu ke lebih banyak lokasi awam.
PRO-NET menegaskan inisiatif ini adalah langkah proaktif untuk bekerjasama dengan pemain industri bagi mempercepat pembangunan infrastruktur EV di Malaysia.
“Apabila semakin ramai rakyat Malaysia memilih kenderaan elektrik, akses kepada kemudahan pengecasan yang mudah dan mudah diperoleh akan menjadi semakin penting dalam pengalaman pemilikan.
“Melalui kerjasama dengan CPO utama, kami mahu menjadikan pengecasan lebih mudah dan memberikan lebih banyak manfaat kepada pemilik e.MAS, khususnya apabila mereka mengecas di lokasi-lokasi utama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang.
“Gabungan akses pengecasan melalui aplikasi Proton e.MAS memberi kami peluang untuk menjadikan pengalaman pengecasan lebih mudah dan memberikan lebih manfaat kepada pemilik e.MAS.
“Melalui kerjasama dengan CPO yang berpengalaman, kami dapat memudahkan urusan pengecasan sambil memberikan pelanggan akses kepada sokongan sedia ada sekiranya bantuan diperlukan,” tambah Ketua Bahagian Pengecasan PRO-NET, Ahmad Munif Halim.
Kerjasama ini turut menyokong agenda lokalisasi kerajaan dengan membuka lebih banyak peluang kepada vendor tempatan dan syarikat Malaysia untuk menyumbang kepada pembangunan ekosistem EV negara.
CPO yang terlibat adalah pengendali berpengalaman dengan keupayaan sokongan sedia ada, sekali gus memberikan keyakinan dan kemudahan kepada pemilik e.MAS.
Kadar pengecasan dan pengaturan khusus akan dipersetujui bersama antara PRO-NET dan CPO terbabit.
Seiring dengan perkembangan jenama Proton e.MAS di seluruh Malaysia, PRO-NET akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi pengecasan dan syarikat tempatan bagi memperluas akses kepada kemudahan pengecasan EV yang mudah, boleh dipercayai dan memberi nilai tambah kepada pelanggan.
Untuk maklumat lanjut mengenai model Proton e.MAS, layari laman web rasmi dan ikuti saluran media sosial rasmi:
- Facebook (Proton e.MAS Cars)
- Xiaohongshu (Proton e.MAS Cars)
- TikTok (@protonemasofficial)
- Instagram (@protonemasofficial)
































